rap

Tertarik vokal unik Megat

Oleh Syanty Octavia Amry

MENGAKUI tertekan saat mahu menghasilkan lagu runut bunyi untuk drama bersiri Nur 2, Amylea Azizan lega apabila pemilihan Megat Adzuan sebagai teman duet dilihat sangat sesuai.

Lagu berjudul Tetap Kamu ciptaan Farouk Roman dan lirik karyanya itu sepatutnya dinyanyikan bersama Kaer Azami, namun atas beberapa sebab Kaer tidak dapat memberikan kerjasama.

Amylea berkata, dia tertarik dengan vokal unik yang dimiliki Megat selepas menyaksikan nyanyian jejaka dari Sabah itu pada program realiti Mentor Milenia musim ketujuh lalu.

“Memang sukar menghasilkan lagu yang sama konsepnya dengan lagu Tak Pernah Hilang. Apabila produksi memberitahu saya perlu tampil dengan lagu baharu untuk musim kedua drama bersiri Nur, ia memberi tekanan hebat apatah lagi gandingan bersama Kaer tidak dapat diteruskan.

“Apabila lagu hampir siap saya juga turut nekad tidak akan menyanyikan lagu berkenaan jika tidak berjumpa dengan rakan duet sesuai,” katanya.

Amylea berkata, perasaan tertekan itu bertukar lega selepas dia mendengar suara Megat dan berasakan Megat adalah rakan duet yang sangat sesuai.

“Lenggok suara kami memang berbeza tetapi ia boleh sekata apabila kami selesai menyanyikan lagu ini. Tidak sangka apabila ia siap sepenuhnya saya sangat berpuas hati dan pemilihan Megat tidak sia-sia,” katanya.

Dalam pada itu, Amylea berkata, walaupun pernah berkecil hati dengan Kaer apabila daripada awal menolak untuk menyanyikan lagu Tetap Kamu, akhirnya dia akur.

“Saya faham dia seorang yang sangat fokus apabila dalam penghasilan lagu dan ketika hendak menyiapkan lagu Tetap Kamu dia sedang sibuk dengan kerja lain.

“Apabila dia menolak memang pada awal terkilan kerana saya mengharapkan dia yang sepatut­nya menyanyikan lagu ini,” katanya.

Sementara itu, Megat yang juga protege kepada Aizat Amdan berkata, dia sendiri pada awal bimbang untuk menyanyikan lagu Tetap Kamu.

Selain tidak mahu dibandingkan dengan Kaer, dia berharap nyanyiannya diterima ramai.

“Memang berdebar menanti maklum balas peminat kerana lagu ini menjadi tema untuk sebuah drama yang hebat. Saya harap peminat suka kerjasama dengan Amylea dan tidak membanding­kan suara saya dengan Kaer,” katanya.

Selain Tetap Kamu, Megat juga mempunyai lagu solo yang berjudul Cintaku dan turut terpilih menjadi runut bunyi drama Nur 2.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 5:00am
d