rap

'Penonton takkan kecewa'

Oleh Norhayati Nordin

WATAK Aisyah lakonan Noorkhiriah Ahmad Shapie dalam drama Nur di TV3 pada tahun lalu nyata berjaya menyerlahkan semula namanya di perdana industri hiburan tanah air.

Ditambah lagi dengan penangan elemen ‘sup bunjut’ digunakan untuk tujuan sihir dalam drama itu membuat karakter Aisyah sangat menjadi perhatian.

Kini, ceritera Aisyah kembali lagi dalam siri drama Nur 2 yang disiarkan slot Samarinda TV3, jam 10 malam dari Isnin hingga Khamis.

Berbicara mengenai perwatakan Aisyah dalam drama Nur 2 kali ini, Noorkhiriah, 43, berkata pembawakan wataknya agak mencabar dan ada konflik di sebaliknya.

“Apa yang pasti, penonton takkan kecewa dengan watak Aisyah itu. Ini kerana ia akan merungkai konflik yang wujud dalam perkahwinan Aisyah dan Ustaz Syed Hamadi.

“Bagaimana Aisyah dan Syed Hamadi bertemu jodoh hinggakan sebagai isteri, dia (Aisyah) sanggup bersabar berhadapan sikap suami yang menjadi penunggang agama,” katanya.

Menurutnya, dia sangat teruja membintangi Nur 2 kerana padat dengan pelbagai mesej yang semestinya menjadi tarikan masyarakat.

“Apa yang boleh saya kata, tonton drama Nur 2 kali ini hingga ke episod akhir. Barulah, anda (penonton) akan tahu perjalanan setiap karakter ini.

“Saya yakin, anda sebagai penonton akan puas hati kerana jalan cerita dimuatkan dalam Nur 2 ini sangat menarik. Begitu juga mesej positif dimuatkan,” katanya.

Ditanya sejauh mana Nur 2 mampu mencetuskan fenomena seperti tahun lalu, Noorkhiriah berkata, semuanya adalah rezeki dan ditentukan oleh penonton.

“Sama ada berjaya mencetuskan fenomena atau tidak seperti drama Nur terdahulu, saya serahkan pada penilaian penonton untuk menentukannya.

“Sebagai pelakon, saya bersama barisan pelakon lain dalam drama Nur 2 sudah berusaha memberikan persembahan lakonan yang baik dan mantap.

“Nilailah sebaik mungkin lakonan ini dan harapan saya, mana yang baik mesejnya diambil positif dan sebaliknya pula jadikanlah sempadan dalam hidup kita,” katanya.

Katanya, apa pun dalam ikatan perkahwinan penting restu ibu bapa. Sebagai anak sewajarnya menghormati setiap apa yang diaturkan kerana yakinlah ada kebaikannya.

Sehubungan itu, drama Nur 2 masih mendapat sentuhan skrip dan arahan oleh Shahrulezad Mohameddin. Selain drama, Nur 2 juga diterbitkan dalam naskhah novel.

Selain Noorkhiriah, drama Nur 2 turut dibintangi Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Azhan Rani, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Azar Azmi dan Raja Atiq.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 4:30am
d