rap

Nur 2 tak sesuai ditonton kanak-kanak

Oleh Syanty Octavia Amry

PENGARAH drama bersiri Nur 2, Shahrulezad Mohameddin mengakui drama berkenaan tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.

Shahrulezad menerusi Instagram miliknya memuat naik status menerangkan kepada segelintir warganet yang mengecam musim kedua itu agak keterlaluan.

Katanya, mungkin ada yang masih belum faham kenapa Nur 2 diklasifikasikan sebagai P13 untuk siaran kali ini dan bukan klasifikasi U.

“Ada sebab kenapa drama Nur 2 ditayangkan pada slot Samarinda jam 10 malam dan bukannya slot Akasia siaran petang.

“Terus-terang, Nur 2 yang mengisahkan dunia pelacuran tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak.

“Remaja mungkin, itu pun ibu bapa kena guna peluang ini sebagai alat mendidik anak terutamanya berkaitan pembelajaran seks dan sebagainya,” katanya.

Katanya, drama Nur 2 bukan untuk kanak-kanak dan ibu bapa harus bertanggungjawab sama dalam mengawal kandungannya buat anak mereka.

“Kandungan untuk kanak-kanak adalah di siang hari bukan malam. Malam selalunya untuk tontonan dewasa terutamanya pada jam 10 malam ke atas,” tulisnya.

Dalam muat naik yang sama, Shahrulezad turut memaparkan tangkap layar (screen shot) seorang warganet yang mengecam musim kedua ini terlalu banyak babak terlampau.

Kata warganet itu lagi, sejak dulu dia adalah peminat setia drama Nur tetapi musim kali ini agak melampau dan berharap Shahrulezad lebih sensitif.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 3:38pm
d