rap

Lagu Hari Ini terima reaksi positif suami isteri

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Hael Husaini, berkongsi menerima reaksi positif terutamanya daripada suami isteri mengenai lagu barunya yang berjudul Hari Ini.

Hael berkata, mereka banyak berkongsi pengalaman yang dapat dikaitkan dengan lagu barunya itu.

"Sebelum ini, lagu saya banyak mendapat perhatian golongan muda. Kali ini, saya sendiri terkejut apabila rata-rata yang memberikan maklum balas adalah suami isteri.

"Mereka berkongsi mengenai pengalaman dalam menjalani kehidupan berumahtangga dan bagaimana dugaan serta kenangan sepanjang perkahwinan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 32, pengalaman paling memberi kesan kepadanya adalah mengenai suami yang menjaga isteri menghidap kanser.

"Ada suami berkongsi dengan saya mengenai isterinya yang menghidap kanser. Menurutnya, video muzik lagu Hari Ini begitu dekat dengan kehidupan mereka," katanya.

Selepas dua hari dilancarkan, Hari Ini sudah menjadi sohor kini di YouTube dengan jumlah tontonan lebih 444,000 dan berada dalam kalangan 10 teratas di laman penstriman video itu.

Berbanding lagunya sebelum ini, Hari Ini muncul dengan rentak berbeza berbanding singlenya yang terdahulu seperti Jampi, Hajat dan lagu duet bersama Dayang Nurfaizah, Haram.

Hael ditemui di Majlis Makan Malam Tiga Bintang bersama Selebriti yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 10:50pm
d