rap

Ameng ajar anak mengaji al-Quran, bukan menyanyi

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA memang mengajar Haikal mengaji al-Quran di rumah dan dia juga tidak pernah tinggal solat lima waktu.

“Justeru, saya meminta warganet yang mengecam itu supaya membetulkan diri mereka dulu sebelum mengkritik orang lain,” kata penyanyi Ameng Spring ketika mengulas segelintir warganet yang mengecamnya kerana memuat naik video anak bongsunya, Wan Amar Haikal, 12, menyanyi di laman Instagram miliknya baru-baru ini.

Menurut Ameng atau pemilik nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail, Haikal juga mewarisi bakat nyanyiannya sejak kecil.

“Sebenarnya, saya tidak pernah mengajar Haikal menyanyi pun sebaliknya bakat itu diwarisinya daripada saya sama seperti dua kakaknya Wan Az Aleesa dan Wan Azevanatassha yang turut berbakat sebagai penyanyi.

“Haikal juga sering memasuki pertandingan nyanyian di peringkat sekolah dan pihak sekolah pernah menghantarnya memasuki pertandingan Bintang Kecil sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia hanya memuat naik video Haikal menyanyi di laman Instagram miliknya hanya sekadar suka-suka kerana menyokong hobi anaknya itu.

“Jika nak diikutkan, Haikal juga banyak dapat undangan menyanyi tetapi saya mahu dia menamatkan pelajarannya hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dulu.

“Sebagai bapa, saya tidak mahu pelajarannya terganggu kerana sibuk menyanyi,” katanya.

Mengenai bakat anak bongsunya itu, kata Ameng, dia akan memberi galakan pada anaknya itu jika dia serius menyanyi selepas selesai menduduki peperiksaan SPM nanti.

“Masih banyak lagi teknik vokal yang perlu dipelajarinya untuk menjadi penyanyi yang bagus bila dewasa nanti,” katanya.

Sementara itu, video Haikal menyanyi yang dimuat naik Ameng di laman Instagram miliknya turut mendapat banyak maklum balas positif daripada peminat yang turut menganggap anak bongsunya itu menjadi pelapisnya dalam dalam bidang seni.

Malah, ada peminat yang mencadangkan supaya Ameng menampilkan Haikal untuk berganding dengan anak penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah, Osama Yamani pula dalam konsert pada masa depan.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 3:23pm
d