rap

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal kutip RM25 juta

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS tiga minggu ditayangkan, filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal kini mencatat kutipan RM25 juta dengan jumlah penonton mencecah dua juta.

Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, pihaknya menerima lebih 1,000 komen positif daripada warganet dan kritikan positif pelbagai sudut.

"Alhamdulillah, untuk sebuah filem animasi, jumlah kutipan sebanyak RM25 juta adalah satu kejayaan besar. Terima kasih juga saya ucapkan kepada warganet yang menulis komen positif mengenai filem terbaru Upin & Ipin ini.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada pengkritik filem dari dalam dan luar negara yang memberikan kritikan positif serta membina," katanya kepada Harian Metro.

Jumlah kutipan itu juga sekali gus mencatat rekod kutipan tertinggi sepanjang zaman bagi kategori filem animasi di pawagam Malaysia, mengalahkan filem antarabangsa, Incredibles 2 yang memegang rekod berkenaan, sebelum ini.

Burhanuddin berkata, filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal juga akan ditayangkan di beberapa negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia.

"Di Vietnam, ia akan mula ditayangkan pada 26 April ini manakala di Indonesia, pada 9 Mei. Selain itu, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal juga akan dibawa ke China dan India.

"Lebih menarik, kita juga ada mendapat permintaan untuk Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ditayangkan di Uzbekistan dan ia masih dalam perbincangan," katanya.

Tidak hanya filem, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal juga kini hadir dalam bentuk aplikasi permainan video yang dilancarkan untuk pengguna Android pada 15 Mac lalu, manakala untuk pengguna iOS pada 4 April lalu.

Seorang daripada pengarah filem itu, Adam Amiruddin berkata, aplikasi permainan video itu kini sudah dikeluarkan untuk bab pertama, permulaan kepada kisah pengembaraan Upin & Ipin, dinamakan sebagai Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal the Game.

"Sekarang, kami sudah lancarkan bab pertama dan selepas ini, akan ada enam bab lain daripada kisah pengembaraan mereka dalam bentuk aplikasi permainan video.

"Sepanjang pengembaraan mereka, Upin dan Ipin akan mengumpul beberapa barangan yang berkaitan dengan kisah dongeng dan karakter Opah akan menjadi tukang cerita," katanya.

Selain Adam, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal juga diarahkan dua pengarah lain iaitu Ahmad Razuri Roseli dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengisahkan mengenai pengembaraan dua beradik itu yang digarap dengan beberapa karakter daripada kisah hikayat dongeng Melayu lama antaranya Mat Jenin, Raja Bersiong, Nakhoda Ragam, Si Tanggang dan banyak lagi.

Filem itu mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 21 Mac lalu serta masih lagi ditayangkan.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 6:53pm
d