rap

Cinderella Camila

Oleh Ramlah Zainal

SELEPAS meninggalkan kumpulan Fifth Harmony, penyanyi muda dan penulis lagu terkenal Camila Cabello, 22, tidak menoleh ke belakang lagi untuk mengukuhkan namanya sebagai penyanyi solo.

Ternyata percaturannya menjadi kerana lagu popularnya, Havana menjadi siulan peminat di seluruh dunia.

Malah, menerusi kehebatan lagu itu Camila berjaya menewaskan beberapa nama besar seperti Ariana Grande, Bruno Mars dan Drake apabila memenangi kategori utama iaitu Video Terbaik dan Artis Terbaik pada MTV Video Music Awards (VMAs) 2018.

Dalam satu temu bual bersama portal antarabangsa di Los Angeles, Februari lalu, Camila memberitahu, dia bekerja keras untuk merealisasikan album solo keduanya selepas album sulung berjudul Camila pada 2018.

“Bagi saya muzik seperti memori. Tugas kita untuk menggubahnya menjadi lagu.

“Sejak kebelakangan ini, ketika menghasilkan lagu saya sering sampaikan mesej mengenai seseorang, emosi dan semangat.

“Semua itu penting untuk disampaikan kepada peminat yang mendengar lagu saya,” katanya.

Walaupun sudah dikenali ramai, Camila tetap berpegang teguh dengan pesanan ibunya sejak dulu.

“Ibu sering mengingatkan saya perkara penting dalam hidup. Disebabkan itulah saya tidak pernah meletakkan diri sebagai selebriti atau penyanyi terkenal.

“Ibu sentiasa mengajar saya nilai murni dan betapa pentingnya untuk menjadi orang yang baik,” katanya.

Bukan saja dikenali dalam bidang muzik, Camila juga bakal mengembangkan karier seninya ke layar lebar apabila terpilih melakonkan watak Cinderella dalam versi baru filem terbitan Sony Pictures itu.

Pendedahan itu dibuat pengarah filem itu, Kay Cannon menerusi laman Twitternya, baru-baru ini.

“Havana-ya-ya-ya-yay!!!!@Camila_Cabello @JKCorden #femalefilmaker #director #writer,” tulisnya di laman Twitter.

Lebih istimewa, Camila akan terbabit dalam penerbitan runut bunyi filem berkenaan.

Filem yang akan memaparkan versi moden Cinderella dengan idea asalnya dicetuskan pelakon dan hos televisyen, James Corden.

Portal hiburan antarabangsa turut melaporkan Sony mahu menerbitkan filem itu secepat mungkin.

Filem Cinderella kali pertama diterbitkan dalam bentuk animasi pada 1950. Beberapa versi lain pernah diterbitkan selepas itu pada 1997 yang dibintangi Brandy dan Whitney Houston manakala Lily James pula tampil sebagai bintang utama pada 2015.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 5:30am
d