rap

Semoga ada sinar baru...

Oleh Syanty Octavia Amry

SEBELUM ini banyak masalah timbul dalam pengurusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sehingga memberi kesan kepada penggiat industri.

Ia sekali gus mencetuskan pelbagai isu malah ramai mula pertikai dan saling menuding jari. Selain berlaku masalah dalaman, jawatan tertinggi yang diterajui orang luar industri juga semakin merumitkan keadaan kerana dilihat kurang memahami apa yang berlaku dalam industri.

Justeru, pelantikan Ahmad Idham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS dan Datuk Hans Isaac sebagai Pengerusi FINAS yang baru diharap dapat membawa angin perubahan.

Cuit sikit minggu ini mendapatkan komen persatuan Seniman Malaysia (Seniman), pelakon dan penerbit mengenai pemilihan Hans dan Ahad Idham selaku pemimpin tertinggi FINAS.

Ternyata mereka meletakkan harapan tinggi kerana yakin sebagai individu yang pernah terbabit dalam arena seni, Hans dan Idham pasti sedia maklum apa yang diperlukan penggiat seni.

Zed Zaidi (Presiden Seniman)

“Saya menaruh harap tinggi terhadap kepemimpinan baru ini. Mereka sudah lama bergiat aktif dalam arena seni dan diharap dengan kuasa yang diberikan, mereka mampu mengubah industri ke arah lebih baik.

Kalau boleh, selalu turun padang dekatkan diri dengan mana-mana persatuan seni untuk mengetahui apa masalah yang ada dan mungkin boleh bantu menyelesaikannya.

Dekatkan diri dengan kami yang berada di bawah. Saya dan anak seni lain beri masa untuk lihat apa yang boleh dilakukan kepemimpinan baru ini.

Semoga segala yang dirancang di bawah kepemimpinan baru ini berjaya dilaksanakan.”

Bront Palarae (pelakon)

“Sebagai pelakon, saya melihat kepemimpinan baru ini sudah cukup kuat dengan adanya mereka yang berpengalaman dalam bidang seni.

Mungkin mereka boleh mempertingkatkan lagi standard dan kualiti industri seni supaya lebih hebat lagi.

Wujudkan juga standard praktis di belakang tabir untuk produksi dan dengan adanya perkara-perkara ini, mungkin ia akan jadi lebih tersusun.”

Datuk Ayu Puteh (penerbit)

Walaupun sudah lama mengenali Idham dan Hans sebagai rakan industri, saya belum tahu lagi adakah mereka mampu menerajui kepemimpinan baru FINAS.

Pun begitu, saya yakin mereka dapat melakukan yang terbaik kerana kedua-duanya sudah lama dalam bidang ini.

Sebagai orang lama pasti mereka tahu apa yang sedang berlaku dan perlu dilakukan dalam usaha menambah baik industri.

Saya juga berharap selepas ini standard filem dijaga. Filem adalah filem, telefilem atau supertelefilem tidak boleh dijadikan filem.

Harap industri perfileman terus diangkat dan dimartabatkan kualitinya.

Dalam usaha membantu memberi dana kepada produksi dan penerbit, harap lebih banyak pemantauan dilakukan supaya tidak ada penyelewengan serta salah guna wang.

Utamakan mereka yang betul-betul ingin menghasilkan produk dan bukan sekadar mendapatkan dana kerana kenalan rapat sedangkan dana itu entah ke mana.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 6:00am
d