rap

Platform digital Nur 2

Oleh Norhayati Nordin

BERIKUTAN sambutan luar biasa terhadap drama Nur di TV3 pada tahun lalu, platform tontonan Nur 2 kali ini diperluaskan.

Bukan hanya dapat ditonton di kaca TV setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam tetapi ia juga dapat disaksikan setiap masa di platform digital.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, tayangan di platform digital memudahkan penonton.

“Sebaik saja tayangan di TV3 habis, penonton yang ingin menonton lagi boleh ke laman tonton.com.my dan iflix.com.

“Kini tontonan boleh dibuat di hujung jari. Jika ketinggalan di TV, boleh menonton di platform digital,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan iflix, Johan berkata ia terjalin berikutan impak sokongan penonton terhadap drama Nur.

“Ketika ditayangkan pada Ramadan tahun lalu, Nur mendapat sambutan yang sangat hebat.

“Jutaan orang menonton drama ini malah ia memenangi anugerah Drama Rantaian Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) 2018,” katanya.

Yakin sambutan penonton masih lagi di tahap terbaik untuk Nur 2, kerjasama dengan iflix dilihat sebagai langkah tepat.

Selain itu, bagi golongan yang suka membaca semestinya Nur 2 dihasilkan dalam bentuk novel oleh Rose Harissa.

Lebih membanggakan, pada malam kemuncak Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019), baru-baru ini, Nur menang besar.

Drama bergenre Islamik arahan Shahrulezad Mohameddin itu berjaya membawa pulang enam anugerah utama.

Antaranya kategori Aktor Pilihan melalui Syafiq Kyle, Antagonis Pilihan (Azhan Rani), Pengarah Pilihan (Shahrulezad), Skrip Pilihan (Shahrulezad Mohameddin), Pasangan Pilihan (Syafiq Kyle dan Amyra Rosli) dan diangkat sebagai Drama Terbaik.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 4:31am
d