rap

Che Ta dan Ezuwan tak gaduh pun

Oleh Ardini Sophia Sina

PELAKON Rozita Che Wan atau Che Ta menjelaskan dia dan pereka fesyen, Ezuwan Ismail tidak pernah bermasam muka seperti mana dakwaan segelintir netizen.

Kehadirannya pada majlis pertunjukan fesyen Gaya Koleksi Raya rekaan Ezuwan menguatkan lagi kenyataan bahawa hubungan mereka sebagai rakan sama sekali tidak terjejas.

“Saya dan Ezuwan tidak ada gaduh atau bermasam muka pun. Saya tulis seperti itu kerana dia pernah cakap artis yang hasilkan baju rekaan sendiri kononnya mahu jadi pereka fesyen juga.

“Apa yang saya tulis itu hanyalah gurauan manja. Satu pengajaran untuk semua orang supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan dan untuk diri sendiri agar lebih berhati-hati dalam berkata-kata” katanya.

Sementara itu, kumpulan E1 yang turut dianggotai oleh Ezuwan menghiburkan tetamu dengan lagu Semalam Sahaja serta memperdengarkan lagu baharu mereka berjudul Rindu Lebaran.

Kata Ezuwan, sebelum ini dia sering menghantar jemputan kepada Che Ta bagi menghadiri pertunjukan fesyennya dan rasa janggal jika tidak menjemputnya kali ini.

“Saya selalu ajak dan Che Ta memang selalu akan hadir. Saya gembira dia datang. Saya pun tidak mahu hal itu menjejaskan persahabatan kami,” katanya.

Awal tahun ini, Che Ta menerusi laman sosial menulis kenyataan berbaur sindiran terhadap seorang pereka fesyen mengatakan suaranya seperti tercekik sudu.

Walaupun tidak menyebut mana-mana nama, namun rata-rata ramai yang menganggap kenyataan itu ditujukan kepada Ezuwan kerana ketika itu pereka berkenaan baru saja melancarkan lagu Semalam Sahaja.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 9:35pm
d