rap

Fizz buat laporan polis

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Datuk Fizz Fairuz, 40, hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul terhadap pemilik akaun Instagram yang menyebarkan gosip artis dikenali sebagai Mak cik Puaka.

Laporan polis itu dibuat selepas tempoh 24 jam diberikan kepada pemilik akaun itu tidak tampil bersemuka dengannya dan membuat permohonan maaf seperti diminta oleh Fizz.

"Saya dah bertolak ansur dan berikan masa kepada pemilik akaun itu selama tujuh hari sehingga jam 12 tengah malam tadi untuk bertemu dan memohon maaf.

“Saya minta mereka untuk hadir bertemu empat mata dengan saya dan memohon maaf secara lisan.

"Namun, mereka hanya menghantar mesej permohonan maaf dan tidak mengikut permintaan saya. Jadi, saya dinasihatkan oleh peguam supaya teruskan dengan laporan polis dan saman," katanya kepada Harian Metro.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin berkata, tindakan pemilik akaun itu menyebarkan fitnah terhadap dirinya adalah keterlaluan dan tidak boleh dipandang remeh.

"Ini adalah satu kesalahan besar dan tidak boleh diselesaikan dengan hanya satu mesej permohonan maaf. Kerana itulah saya nak berjumpa dengan pemilik akaun itu dan tanya sendiri, apa masalah dia.

"Tindakannya itu menjatuhkan maruah dan menjejaskan karier saya. Ia juga seperti mencabar kewibawaan saya sekali gus menjejaskan nama baik keluarga serta rumah tangga," katanya.

Katanya, dia tidak kisah sama ada pemilik akaun itu ingin mengadakan sidang media atau bertemunya secara peribadi.

"Kalau dia nak buat permohonan maaf dalam majlis sidang media, silakan. Tapi, kalau dia rasa nak buat permohonan maaf secara peribadi, saya sedia untuk bertemunya walaupun di kedai mamak sekali pun.

"Saya dah bagi masa, tapi nampaknya dia tak mahu mengambil peluang itu. Saya bukan nak keruhkan keadaan, sebaliknya nak selesaikan hal ini dengan baik dan lancar," katanya.

Fizz berharap supaya apa yang berlaku akan membuka mata banyak pihak dan tidak memandang remeh kerjaya artis.

"Kami, golongan artis bukan 'hadap' sangat untuk dapatkan publisiti daripada gosip berunsur fitnah sebegini. Misi kami adalah untuk mencari rezeki.

"Mungkin sebelum ini, tak ada artis yang bangkit menentang akaun gosip sebegini dan membuatkan mereka rasa tidak akan ada tindakan undang-undang diambil. Artis pun ada harga diri," katanya.

Sebelum ini, Fizz meluahkan rasa kesal dan kecewanya apabila dikaitkan dengan satu berita mengenai lelaki bergelar Datuk Seri ditangkap khalwat di Pulau Perhentian, baru-baru ini.

Berita berkaitan

'Bersemuka dengan saya atau lapor polis esok'- Fizz Fairuz [METROTV]

Saman jika tak minta maaf dalam seminggu

Lebih baik bunuh suami daripada fitnah - Almy Nadia

Datuk Seri dicekup berkhalwat

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 6:02pm
d