rap

Ardell Aryana sertai misi kemanusiaan ke Palu

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA tak sangka misi pertama ke Palu, Indonesia bermula secepat ini kerana sepatutnya pada Ramadan nanti.

“Tetapi tadi, saya menerima panggilan daripada pihak Yayasan Dana Kebajikan Muslim (YDKM) ke sana lebih awal untuk misi kemanusiaan dan bencana alam di sana,” kata pelakon Ardell Aryana.

Menurut Ardell atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin, 28, menerusi entri di laman Instagram miliknya, dia akan menjayakan misi kemanusiaan membabitkan Palu, Sigi, Donggala, Petobo di Sulawesi Tengah, Indonesia bermula hari ini.

“Gempa bumi berlaku di Palu sejak beberapa hari lalu.

“Semoga Palu tidak mengalami tsunami yang dahsyat seperti tahun lalu.

“Doakan perjalanan saya dan semua sukarelawan selamat sepanjang di sana,” tulisnya.

Pada masa sama, Ardell juga berharap ada pihak yang mahu menghulurkan bantuan buat misi kemanusiaan terbabit.

"Saya menerima dengan hati terbuka dan berterima kasih kepada semua pengikut yang sudi menderma walau berapa ringgit pun,” tulisnya.

Rata-rata pengikutnya turut sama mendoakan perjalanan Ardell dan semua sukarelawan terbabit dipermudahkan.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 6:39pm
d