rap

Rakan doa Ebby temu jodoh di hari kelahiran

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“ALHAMDULILLAH saya sihat sekarang. Pertama sekali, nak sampaikan ribuan terima kasih atas doa semua pihak kepada saya.

“Juga terima kasih banyak ditujukan buat mereka yang menyumbang kepada saya,” kata pelakon Ebby Yus yang melahirkan kesyukuran dapat menyambut ulang tahun kelahiran ke-54 hari ini.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid sebelum ini mendapat perhatian masyarakat kerana menderita pelbagai jenis penyakit termasuk buah pinggang bocor, jantung, darah tinggi, gastrik, masalah saraf dan prostat sejak beberapa tahun lalu.

Bahkan ada peminat yang sanggup mendermakan buah pinggang bagi membolehkan dia sihat dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Lebih istimewa, seorang sahabat baiknya sudi membiayai kos membawa Ebby menunaikan ibadat umrah pada akhir Januari lalu.

Menurut Ebby, keadaan kesihatannya semakin baik, namun masih perlu menjalani rawatan secara berkala.

“Itu memang perlu dibuat dan keputusan pemeriksaan buah pinggang hanya akan diketahui pada awal Mei ini.

“Alhamdulillah saya mampu buat kerja sikit dalam studio dan di tempat yang tak panas. Tawaran memang sentiasa ada, cuma sebelum ini saya tak mampu ambil.

“Dua hari lalu saya tampil dalam program Bintang Bersama Bintang TV3, esok akan buat rakaman promo program Ramadan TV3 dan 18 April pula akan buat rakaman iklan raya untuk YouTube,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku membawa hikmah tersendiri di mana namanya kembali menjadi sebutan peminat.

“Mudah-mudahan begitulah kerana sekurang-kurangnya saya masih dapat terus cari rezeki dalam bidang seni,” katanya.

Ditanya kejutan atau keraian yang diadakan sama ada oleh keluarga atau peminat, Ebby mengakui dirinya lebih senang menerima ucapan saja.

“Saya tak pernah buat acara potong kek atau sebagainya. Kalau keluarga pun hanya buat ucapan begitu saja.

“Kalau dari segi peminat pula, ramai yang tidak tahu hari ini ulang tahun kelahiran kerana saya tidak pernah bercerita pada sesiapa.

“Kadang-kadang saya sendiri lupa tarikh ini adalah ulang tahun kelahiran. Apabila pagi-pagi lagi adik menghantar ucapan menerusi WhatsApp, barulah saya perasan perkara ini,” katanya.

Dalam masa sama, Ebby mengakui ada dalam kalangan rakan artis yang rapat dengannya menghantar ucapan dan mendoakan supaya dia bertemu jodoh.

“Tak mengapa saya aminkan saja. Kalau ada saya bersyukur dan kalau tiada pun juga bersyukur.

“Jika tiada jodoh pun, saya boleh hidup bersendirian kerana yang penting kita ada Allah,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 7:58pm
d