rap

Lagu Cinta Kita di YouTube

Oleh Syanty Octavia Amry

YAKIN semua rakyat Malaysia mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, tetapi tidak tahu platform, TV3 tampil lagi dengan sebuah program baru nyanyian yang diberi nama Lagu Cinta Kita.

Bakal menemui penonton pada Jumaat ini jam 9 malam, Lagu Cinta Kita akan disiarkan menerusi laman YouTube TV3 Malaysia.

Program yang diadaptasi daripada program realiti popular di Vietnam itu menampilkan konsep nyanyian secara berduet.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, buat pertama kalinya mereka menyiarkan program realiti melalui laman YouTube.

“Program realiti ini menampilkan peserta menyanyi duet bagi mendapatkan keserasian dengan pasangan masing-masing.

“Kami memilih untuk menyiarkannya di YouTube kerana sedar pelayar laman sosial terutama YouTube juga ramai,” katanya.

Johan berkata, selain mahu menarik perhatian pelayar YouTube, pihaknya juga berharap, secara tidak langsung dapat menarik mereka untuk menonton televisyen pula.

“Program ini mempunyai lima episod untuk di YouTube dan akan ditayangkan di televisyen pada 21 April bersama episod akhir secara langsung.

“Sejak tahun lalu lagi kami sudah mula menyiarkan pelbagai program TV3 di laman sosial dan hasil mendapati penontonnya dalam kalangan usia 18 hingga 35 tahun.

“Diharap kalangan usia ini akan turut tertarik kembali menonton televisyen pula,” katanya.

Lagu Cinta Kita akan diacarakan oleh Nana Mahazan, manakala juri tetap ialah Scha Al-Yahya dan Hael Husaini.

Selain mengundang juri jemputan, program itu turut melantik Ajai sebagai penasihat vokal.

Program yang menampilkan 16 peserta itu akan dibahagikan kepada lapan pasangan. Sepanjang tempoh pertandingan mereka bebas memilih pasangan duet mengikut keserasian masing-masing.

Peringkat akhir akan menyaksikan persembahan tiga pasangan dan juara akan membawa pulang wang tunai RM50,000 serta hadiah ekslusif daripada penaja.

Sementara itu, Hael berkata, sebagai juri tetap dia akan menggunakan pengalaman pernah menyanyi duet dalam beberapa lagunya sebelum ini.

“Bukan mudah untuk mendapatkan pasangan duet yang serasi, selain suara banyak juga perkara perlu diambil kira.

“Melalui pengalaman yang ada saya akan gunakan untuk diturunkan kepada peserta,” katanya.

Scha pula berkata, sebagai pelakon dia akan fokus kepada gaya persembahan peserta.

“Saya adalah pelakon dan untuk vokal mungkin bukan bidang saya. Justeru, saya akan fokus pada persembahan peserta, gerak tubuh mereka dan keserasian bersama pasangan ketika di pentas,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 4:30am
d