rap

'Saya bukan ustaz' [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SYAFIQ Kyle tidak mahu masyarakat keliru antara dirinya dengan watak Ustaz Adam lakonannya dalam drama Nur 2 yang sedang ditayangkan di slot Samarinda, TV3.

Syafiq, 27, atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, dia berharap peminat jelas watak itu sekadar lakonan.

“Ramai yang mahu saya menjadi seperti Ustaz Adam. Tapi, harapnya mereka boleh faham skop kerja pelakon. Saya hanya berlakon dan saya tidak seperti watak itu.

“Namun, jika seseorang pelakon berasakan watak itu boleh bawa dirinya ke arah kebaikan, tidak salah. Saya bukan Ustaz Adam. Jangan fikir saya seperti dia yang imannya betul-betul kukuh. Saya belum sampai untuk menjadi Ustaz Adam,” katanya yang turut dilantik sebagai duta Setulus Ikhlas bagi program Ramadan dan Raya TV3.

Syafiq berkata, dia perlu mengambil kira banyak faktor sekiranya drama itu diterbitkan pada musim ketiga atau diadaptasi ke filem.

”Sekiranya ada Nur 3 atau difilemkan, ia bakal menjadi tugas berat pengarah iaitu Abang Ijat (Shahrulezad). Saya okey, tapi tengok pada skrip juga.

“Saya mungkin sependapat dengan Azhan Rani iaitu sudah-sudahlah tu. Apa-apa pun tengok skrip dulu dan sejauh mana penceritaannya. Dari segi watak, tetap menjadi orang sama.

“Dalam masa sama, saya tidak mahu watak itu dilihat mendatar dan orang akan bosan. Perkara sebegini perlu diambil kira. Secara peribadi, saya mahukan sesuatu yang baru setiap tahun kalau ada peluang.

“Peminat kena kasihankan saya. Saya kena juga cuba dan buat perkara lain. Kalau peminat meminati saya, mesti kasihankan saya,” katanya.

Ditanya mengenai watak Ustaz Adam yang sedikit tenggelam dengan Ustaz Hamadi dalam Nur 2 ini, Syafiq berkata itu adalah perjalanan skrip.

“Itulah perjalanan skrip yang dibaca dari episod pertama hingga 15. Dari segi penceritaan tak ada masalah. Sebab selepas episod sembilan dan 10 (malam ini) ia kembali seimbang.

“Mungkin itulah tujuan penulis skrip untuk menyeimbangkan karektor dan jalan cerita. Saya berharap penonton akan tunggu hingga episod akhir,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 12:01pm
d