rap

'Saya nak kahwin dan ada anak sendiri'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Ezlynn, 38, mengakui mahu segera mencari jodoh selepas bercerai pada Oktober 2017 tetapi akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu rumah tangganya gagal sekali lagi.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin juga tidak menafikan dia didekati beberapa lelaki termasuk mereka yang lebih muda daripadanya.

"Memang ada yang cuba mendekati, malah ada antaranya berusia 20-an. Namun, saya perlu lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan kerana saya tak mahu tersalah pilih," katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye ini, dia inginkan lelaki bertanggungjawab dan terlalu mengimpikan zuriat sendiri.

"Saya inginkan lelaki yang bertanggungjawab untuk dijadikan peneman hidup. Insya-Allah, jika ada jodoh dengan sesiapa, saya akan bernikah sekali lagi.

"Lagipun, saya mahukan zuriat sendiri memandangkan usia pun sudah hampir mencecah 40 tahun. Saya pun ingin rasa nikmat dan kebahagiaan sebagai ibu seperti wanita lain," katanya.

Ditanya sama ada dia ada perancangan mengambil anak angkat, Ezlynn mengakui dia pernah terfikir untuk melakukannya.

"Memang saya pernah merancang untuk ambil anak angkat, tapi apabila difikirkan semula, anak-anak perlukan kasih saya yang seimbang daripada seorang ibu dan seorang bapa.

"Jika hanya saya seorang yang membesarkannya, dia tak dapat merasa kasih sayang daripada seorang bapa," katanya.

Ezlynn sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas pengurus peribadinya, Adam Fahmy Shamsudin pada 20 November 2011 sebelum bercerai pada 2017.

Terbaru, Ezlynn hadir dengan single berjudul Goyang yang dilancarkan pada Februari lalu.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 12:46pm
d