rap

Ziana masih dalam fasa menenangkan diri

Oleh Ramlah Zainal

“BUKAN mudah mengumpul semangat dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan selepas apa yang dilalui kerana ia bukan mengambil masa setahun dua untuk pulih sepenuhnya.

“Sebab itu, saya beritahu pada semua diri ini masih dalam fasa menenangkan diri lagi.

“Namun, keadaan semakin bertambah baik setiap hari kerana saya perlu bangkit dan menguatkan semangat dengan cepat demi membesarkan anak,” kata penyanyi Ziana Zain ketika mengulas kehidupannya selepas berdepan dengan perceraian sebelum ini.

Namun, kata Ziana, 50, dia bersyukur selain anak, keluarga dan teman rapat yang menjadi sumber kekuatan, peminat juga banyak memberi nasihat dan kata-kata semangat padanya sampai sekarang.

“Terharu rasanya apabila ramai peminat yang memberitahu mereka mendoakan kesejahteraan saya dalam solat setiap hari.

“Ada juga mak cik yang tidak kenal pun tetapi dia beritahu turut mendoakan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya kehidupannya bersama anak sekarang, kata Ziana, dia meneruskan kehidupan seperti biasa bersama anak selepas bergelar ibu tunggal.

“Anak sudah biasa hidup berdikari sejak dulu. Saya juga sangat menekankan kepentingan pelajaran pada anak kerana usia pun bukan semakin muda.

“Saya sentiasa mengingatkan mereka bila sudah tiada siapa akan menjaga, hanya pelajaranlah yang akan mengubah masa depan mereka nanti,” katanya.

Ziana mendirikan rumah tangga bersama Armin Zaharin pada Mei 1998 tetapi bercerai pada 12 Julai tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19; Muhammad Ammar, 16, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 10.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 2:44pm
d