rap

Teman lelaki Elly Mazlein 10 tahun lebih muda

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON dan penyanyi sensasi, Elly Mazlein membayangkan dia akan menamatkan status ibu tunggalnya pada tahun hadapan.

Elly, 38, yang mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom bagaimanapun memberitahu semuanya masih dalam perancangan.

Katanya, meskipun hati sudah dimiliki tetapi masih memerlukan ruang untuk saling mengenali di antara satu sama lain.

"Alhamdulillah, perkara pertama yang saya nak lakukan selepas hubungan makin rapat adalah berjumpa keluarga masing-masing.

"Syukur, apa yang kami harapkan iaitu restu keluarga nampaknya diperoleh. Penerimaan keluarga kedua belah pihak sangat baik.

"Anak saya, Putri Sara Sefhia Azmi, 3, juga sangat rapat dan sayang dengan dia. Apatah lagi, Sefhia memanggilnya papa," katanya.

Menurut Elly, bapanya juga sangat rapat dengan lelaki berkenaan yang bekerja di sektor awam dan muda daripadanya.

"Kalau ikutkan usia, saya dan dia berbeza umur 10 tahun. Tetapi, istimewanya dia di mata saya kerana kematangan sikap.

"Saya lihat dia seorang yang bersungguh-sungguh dalam hubungan kami dan kini sudah pun membuat perancangan hidup berkeluarga," katanya.

Katanya, betapa seriusnya hubungan mereka dan keikhlasan itu ditunjukkan dengan persediaannya membeli rumah sendiri.

"Terus-terang, sikap matang dan ketulusan hatinya membuatkan saya rasa sangat dihargai oleh seorang lelaki," katanya.

Menurutnya, keakraban anaknya Sefhia dengan lelaki itu juga akhirnya berjaya membuka hati untuk bercinta semula.

Menurut pengacara Bintang Bersama Bintang 2019 di TV3, dia sebenarnya mengambil masa lama untuk membuat keputusan.

Berbicara mengenai karier seninya, Elly berkata, dia bersyukur kini rezekinya makin dimurahkan Allah SWT.

Katanya, apa yang diperoleh itu adalah rezeki anak dan bapanya, malah dia kini gigih bekerja bagi menyara keluarga.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 5:58pm
d