rap

Wanns Ahmad hidap Astrafobia sejak kecil

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON dan penyanyi, Wanns Ahmad, 29, mengakui dirinya menghidap sejenis fobia dikenali sebagai Astrafobia sejak kecil.

"Saya menyedari mempunyai fobia ini sejak zaman kanak-kanak lagi, kalau ada kilat atau petir waima nampak cahaya yang terhasil daripada kilat, saya jadi takut.

"Apabila berada dalam keadaan itu, saya tidak boleh memandu dan kalau berada di luar bangunan, saya akan menyorok di bawah meja atau tempat tertutup," katanya.

Wanns yang juga pengacara program masakan Aroma Tradisi di TV3 itu juga mendakwa akan menekup telinga dan muka jika melalui situasi itu.

Bagaimanapun, sehingga kini dia tidak pernah berdepan situasi dipanah petir atau kejutan elektrik yang mendorongnya mempunyai fobia itu.

"Tak tahulah kenapa saya boleh jadi begitu takut cuma mungkin jauh dalam sudut hati masih sedar diri ini mempunyai banyak dosa.

"Apabila berdepan situasi berkaitan, saya akan menyorok, tekup telinga dan beristighfar tanpa henti supaya 'syaitan' tidak menghampiri," katanya.

Tanpa berselindung, Wanns sedar sejak kanak-kanak dia sering dimomokkan bahawa kilat itu adalah panahan malaikat kepada syaitan yang cuba mencuri dengar perutusan daripada Allah kepada malaikat.

Dia bagaimanapun memohon maaf kepada masyarakat jika pemahaman yang dimomokkan kepadanya itu dipercayai salah dan tidak masuk dek akal.

Dalam pada itu, dia mendakwa tiada keperluan untuk bertemu pakar psikiatri atau psikologi untuk mendapatkan rawatan terhadap fobianya itu.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 5:30pm
d