rap

Hafiz bercumbu dalam muzik video [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

MESKIPUN namanya tidak lagi sepopular dulu, penyanyi Hafiz Suip mengakui dirinya masih relevan dalam bidang nyanyian apatah lagi selepas muncul dengan single Kisah Cinta Kita.

Hafiz, 29, atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip juga menafikan merajuk daripada dunia seni hingga jarang dilihat muncul di kaca televisyen.

“Selama ini saya ada saja. Cuma dua ke tiga tahun kebelakangan ini saya mencari dan kumpul material yang lebih lengkap untuk dipersembahkan.

“Sebagai penyanyi kena ada buah tangan yang baik. Alhamdulillah, saya jumpa dan inilah lagunya,” katanya.

Hafiz berkata, tidak timbul soal dikatakan merajuk kerana dia masih mendapat jemputan membuat persembahan, cuma tidak aktif di kaca televisyen dan siaran radio.

“Mungkin juga sebab sibuk kumpul material. Dalam masa sama, saya terbabit dalam dunia vlog berkaitan hobi iaitu memancing.

“Jadi, kalau nak kata zaman saya sudah berakhir, belum lagi. Saya masih muda dan relevan,” katanya.

Menariknya, lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali manakala lirik oleh Datuk A Aida itu dipilih menjadi lagu tema drama Dia Menantu Rahsia yang bersiaran di slot Akasia baru-baru ini.

Selepas sebulan diperdengarkan, muzik video lagu itu bakal dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Nova Music Videos jam 8 malam ini.

Menerusi ‘teaser’ muzik video arahan Khairul Hazwan itu, dipaparkan Hafiz yang popular menerusi lagu Awan Nano dengan beraninya bercumbu mesra dengan seorang wanita di tepian pantai.

Hafiz yang berstatus suami dan bapa itu dilihat tidak segan silu memberikan kucupan romantis buat wanita itu.

“Saya tak boleh ceritakan sekarang. Segalanya terjawab malam ini. Kita tunggu dan lihat saja,” katanya.

Terdahulu, muzik video lirik lagu itu sudah melebihi 5.3 juta tontonan sejak dilancarkan sebulan lalu.

“Alhamdulillah, peminat memberikan maklum balas sangat luar biasa hinggakan ramai dalam kalangan rakan artis yang mahu nyanyikan lagu ini dengan versi mereka sendiri.

“Berdasarkan sambutan diberikan saya sangat bersyukur. Ini permulaan yang cukup baik buat kerjaya saya untuk 2019.

“Saya cukup berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan untuk membawakan lagu ini. Terima kasih kepada komposer, penulis lirik dan pihak Nova Music,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 5:51pm
d