rap

Lakar sejarah artis termuda

Oleh Susunan Ramlah Zainal

BINTANG pop terkenal Ariana Grande melakar sejarah sebagai artis termuda yang pernah beraksi dalam festival muzik paling berprestij Coachella 2019 pada usia 25 tahun.

Penyanyi yang dikenali menerusi lagu God Is A Woman dan 7 Rings itu juga menjadi artis wanita keempat yang pernah membuat persembahan di festival itu selepas Beyonce, Lady Gaga dan Bjork.

Lady Gaga pula beraksi di Coachella selepas sedekad iaitu pada 2017 dan menggantikan Beyonce yang hamil ketika itu. Beyonce juga baru beraksi di festival itu pada tahun lalu.

Apa yang memberangsangkan Ariana juga berkongsi pentas dengan barisan nama besar seperti P Diddy, NSYNNC dan Nicki Minaj pada persembahan yang berlangsung di Empire Polo Field, California pada 14 April dan sekali lagi pada 21 April ini di festival terbesar di California itu.

Berita gembira itu juga dikongsi pengurusnya, Scooter Barun yang turut mengucapkan sekalung tahniah pada pencapaiannya itu menerusi laman Instagram miliknya @scooterbarun.

Ariana Grande artis wanita keempat yang pernah beraksi serta termuda dalam sejarah festival! #history selamat untuk Ari #coachella,” tulisnya.

Bercerita mengenai album keenamnya Thank U, Next yang dilancarkan pada 8 Februari lalu, Ariana dalam satu temu bual berkata, album yang dihasilkan bersama teman baiknya dan mengambil tempoh singkat itu seperti penyelamat dirinya.

“Ia memang sangat mencabar tetapi rakan baik yang membuatkannya menjadi menakjubkan dan istimewa. Ia bertukar menjadi segalanya dalam hidup dan paling indah.

“Single Thank U, Next dihasilkan sebelum album penuh dan dilancarkan pada November. Tapi saya ada tiga versi yang berbeza,” katanya.

Ariana juga mengakui pernah melakukan kesilapan dalam hidup dan semuanya menyumbang pada pencapaian dalam karier seninya hari ini.

“Begitu juga dalam hubungan cinta saya yang ada turun dan naik, malah saya tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Saya sedar setiap keputusan dibuat dalam perhubungan cinta membabitkan risiko yang sangat besar dan menakutkan kerana ia membabitkan soal hidup,” katanya.

Catat 100 juta tontonan di YouTube

Video muzik terbarunya itu juga berjaya mencatatkan 100 juta tontonan di YouTube dan ia adalah yang terpantas di platform media sosial itu.

Ariana menghasilkan video itu dengan menggabungkan elemen daripada beberapa filem remaja yang popular pada era 2000-an, termasuk ‘Mean Girls’ dan ‘Legally Blonde’.

‘Thank U, Next’ turut memecahkan rekod tontonan paling tinggi dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan di YouTube apabila mencatatkan 55.4 juta tontonan sebelum ini.

Selain itu, Ariana juga tersenarai dalam 100 orang yang paling berpengaruh di dunia oleh majalah berprestij Time, baru-baru ini serta sebaris dengan Taylor Swift, Lady Gaga, pemimpin seperti Alexandria Ocasio-Cortez, Michelle Obama dan atlit Lebron James.

Selain dinamakan Billboard sebagai Artis Wanita Sepanjang Tahun 2018, Ariana pernah menewaskan calon kegemaran ramai, Taylor Swift dalam Anugerah Grammy pertama dengan memenangi Album Vokal Pop Terbaik menerusi Sweetener.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 4:30am
d