rap

Isteri hampir 'meroyan' dikecam warganet - Fizi Ali

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENYAMPAI radio Suria FM, Muhd Hafizudin Alimudin, 30, atau Fizi Ali mendedahkan isterinya, Shakila Khoriri hampir mengalami masalah 'meroyan' akibat kecaman segelintir warganet di laman sosial.

Fizi ditemui pada Suria Belanja Makan di Restoran Rebung Datuk Chef Ismail hari ini berkata, isterinya ada masalah menghasilkan susu badan sejak dikurniakan anak perempuan, Ameena Sofia pada 14 Mac lalu.

"Ada segelintir warganet menyalahkan isteri kerana sering menggunakan media sosial menyebabkan dia tidak dapat menghasilkan susu badan.

"Selain itu ada juga seolah menyalahkan gaya hidup sebagai selebriti dan artis menyebabkan dia jadi begitu," kata Fizi geram.

Dia menasihati isteri supaya tidak melayan dan memadam komen negatif yang ditinggalkan warganet seperti itu.

Pun begitu, pasangan itu tetap berterima kasih kepada sebahagian besar warganet yang memberi pelbagai petua dan nasihat mengenai situasi dihadapi mereka.

Katanya, ada yang memberi petua tradisional dan moden bagi merawat masalah dihadapi Shakila.

"Kami dah cuba macam-macam tapi belum membuahkan hasil. Saya hanya mampu menenangkan isteri supaya tidak bersedih kerana tidak mampu menyusu badan anak sepenuhnya.

"Saya kata, walaupun tidak dapat menyusu sepenuhnya, sekurang-kurangnya Ameena dapat juga merasai susu badan ibunya pada peringkat awal," katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 5:45pm
d