rap

Eyza bebas berkarya

Oleh Syanty Octavia Amry

Selepas bergerak sendiri, penyanyi Eyza Bahra lebih bebas untuk berkarya.

Eyza, 31, berkata, dia jenis yang berfikir di luar kotak dan apabila ingin tampil dengan single baharu, dia dapat mencurahkan segala idea yang ada.

“Sejak dahulu saya memang suka tampil dengan lagu ciptaan sendiri. Ketika bersama kumpulan dulu pun, lagu juga dihasilkan bersama-sama. Banyak idea yang perlu dikumpul tetapi apabila bergerak solo, ia lebih mudah. Namun, saya tidak ada masalah jika tampil dengan lagu ciptaan bersama,” katanya.

Tampil dengan single baharu berjudul Ada Chan, duet bersama Amsyar atau dikenali sebagai ADK, Eyza berkata, dia tidak keberatan berduet dengan sesiapa asalkan sama-sama membantu dalam penghasilan lagu berkenaan.

“Saya mengenali ADK ketika kami sama-sama bawah satu pengurusan tetapi ketika itu belum berkesempatan untuk berkongsi lagu.

“Selepas masing-masing membawa haluan sendiri, barulah kami ada peluang dan waktu. Tidak sangka dalam tempoh perbincangan, idea yang dicurahkan tampak seiring dan saya menyukai idea-idea yang diberikan ADK maka terhasillah lagu Ada Chan,” katanya.

Eyza berkata, Ada Chan diharap lembaran baharu untuknya kembali lebih aktif dalam dunia seni selepas berehat hampir setahun.

“Saya mahu tampil dengan banyak lagi lagu selepas ini. Selain single, saya memang suka tampil dengan album kerana ia memberi banyak pilihan kepada pendengar.

“Insya-Allah saya tidak menolak untuk digandingkan dengan mana-mana penyanyi lain. Sekurang-kurangnya ia memberi saya idea untuk lebih kreatif,” katanya.

Mengenai lagu Ada Chan, Eyza berkata, ia adalah kisah pengalaman mereka berdua.

“Lagu ini saya kongsi pengalaman hidup saya dan ADK, kemudian kami rumuskan dalam sebuah lagu. Berkonsepkan reggaeton, lagu ini santai dan mudah difahami. Saya berharap peminat suka dan mereka yang merindui lagu nyanyian saya akan terhibur,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 7:01am
d