rap

Pelakon Polis Evo 2 cedera kemalangan

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Riz Amin cedera di muka dan punggung selepas mengalami kemalangan motosikal di Setia Alam, Shah Alam, malam Khamis lalu.

Riz, 34, yang juga pelakon Polis Evo 2 berkata, ketika kejadian dia bersama sepupunya, Awis yang menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di sebuah restoran.

Menurutnya, ketika tiba di satu persimpangan, sebuah kereta tiba-tiba muncul dalam keadaan laju membuatkan dia terpaksa brek mengejut.

“Sepupu saya yang mengekori di belakang tidak sempat brek dan terus melanggar saya. Ia menyebabkan saya melambung sebelum terjatuh. Mujur tidak ada kereta dari belakang, jika tidak tentu keadaan saya lebih teruk,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan mata kanannya bengkak dan mengalami cedera ringan di punggung. Selain itu, dia juga menjalani ujian sinaran-X.

“Mujur tiada sebarang keretakan tetapi doktor akan melakukan pemantauan berterusan pada bahagian kaki,” katanya.

Riz berkata, sepupunya juga turut mengalami kecederaan dan dia bersyukur mereka tidak mengalami kecederaan lebih serius.

Menurut Riz, ketika ini dia sedang menjalani penggambaran dan kebetulan kejadian berlaku ketika produksi berkenaan sedang berhenti menjalani penggambaran buat seketika.

“Buat masa ini, saya akan berehat hingga kecederaan itu sembuh. Terima kasih kepada yang mendoakan kesejahteraan saya,” katanya.

Terdahulu, Riz memuat naik foto kecederaan dialaminya di Instagram dan menceritakan pengalamannya terbabit kemalangan motosikal.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 1:46pm
d