rap

Semua pergi final!

Oleh Ramlah Zainal

LIMA peserta bertanding di saingan separuh akhir Bintang Bersama Bintang 2019 (BBB 2019) iaitu Achey, Shuk, Chiwan, Sharif Zero dan Mamak Puteh yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi layak ke pentas akhir, Ahad ini.

Dalam saingan itu, Achey turut diumumkan sebagai juara mingguan dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.

Keputusan diumumkan pengacara Elly Mazlein.

“Gelaran juara mingguan malam ini cukup bermakna kerana ia juga hadiah sempena ulang tahun kelahiran isteri, Nor Hasanah Yahaya yang ke-28 hari ini,” kata Achey.

Menurut Achey, dia tidak menyangka apabila gandingannya dengan pelawak jemputan Tauke berjaya memenangi hati juri dan penonton.

“Saya tidak jangka akan muncul sebagai juara pada minggu separuh akhir ini kerana saingan cukup sengit pada malam ini. Saya juga akan menjanjikan persembahan yang lebih baik dengan menampilkan penyanyi Black pada peringkat akhir nanti,”katanya.

Persembahan sketsa Achey dengan tema bebas dan pilihan lagu Kamelia mendapat pujian juri tetap, Saiful Apek dan Mark Adam.

Dalam persembahan lain, Shuk menampilkan pelawak Issey, Chiwan bergandingan dengan penyanyi Sissy Iman, Sharif Zero bersama Ali Putih dan Mamak Puteh bersama Shiha Zikir.

Sistem permarkahan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 60 peratus daripada panel juri dan 40 peratus daripada undian dalam talian.

Pentas separuh akhir turut menampilkan persembahan Haiza dengan lagunya berjudul Young & Gentleman.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 12:10am
d