rap

Haqiem Rusli enggan layan mulut-mulut jahat

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Haqiem Rusli menafikan dakwaan dia ‘anak emas’ syarikat rakaman FMC Music Sdn Bhd berbanding artis FMC lain serta mahu meninggalkan syarikat rakaman itu.

Haqiem, 21, menyifatkan tuduhan itu tidak berasas kerana hubungannya dengan artis FMC yang lain cukup rapat dan saling menyokong di antara satu sama lain.

“Tak adalah. Malah, saya mungkin akan ikat kontrak lebih lama dengan FMC kerana sangat selesa dengan pemiliknya serta keluarga syarikat itu.

“Syarikat itulah yang mengambil saya ketika saya tidak ada apa-apa. Jadi saya tidak akan keluar,” katanya.

Haqiem juga menganggap kenyataan mendakwanya sebagai ‘anak emas’ syarikat itu adalah kenyataan mulut-mulut jahat yang tidak perlu dilayan.

“Dalam industri muzik ini, kita tidak boleh ada hasad dengki dan kita kena ikhlas. Saya tak nak cakap saya ‘anak emas’ nanti kena cakap berlagak pula

“Ramai nama-nama besar dalam FMC antaranya Wany Hasrita dan Tajul. Kami saling membantu dan semua dilayan sama rata.

“Setiap kali ada acara, pengurus memang akan turun untuk semua artis FMC. Kami semua memang disayangi syarikat rakaman,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 2:07pm
d