rap

Deja ubat rindu peminat

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS 13 tahun, akhirnya Deja Moss muncul dengan lagu terbaru berjudul Menepis Rawan bagi mengubati kerinduan peminatnya.

Lagu ciptaan penyanyi dan komposer, Asfan dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya itu sebenarnya ada kisah tersendiri yang begitu dekat dengan Deja.

Menurut penyanyi berusia 46 tahun ini, dia mengambil masa lebih kurang setengah tahun untuk mengeluarkan lagu baru yang menjadi satu karya terbaik dan berkualiti buat peminatnya.

“Saya rakamkan lagu ini pada 6 Ogos tahun lalu yang juga hari lahir saya. Saya ambil masa yang lama kerana menunggu masa yang sesuai.

“Saya nak hasilkan satu karya untuk buktikan kemampuan kepada peminat saya. Saya nak buktikan kepada mereka bahawa saya masih mampu menyanyi dan menjadi lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai jalan cerita yang disampaikan menerusi Menepis Rawan, Deja berkata, ia berkait rapat dengan kehidupan peribadinya.

“Lagu ini mengisahkan mengenai kehidupan saya dan saya abadikan dalam bentuk lagu. Saya beritahu kepada Asfan mengenai jalan cerita yang saya inginkan dan kemudiannya, berkongsi idea dengan Fedtri dalam menghasilkan lirik yang sesuai.

“Ia berkisar mengenai wanita yang mencintai pasangannya, namun dikecewakan. Dia kemudiannya ingin mendekatkan dirinya dengan Sang Pencipta,” katanya.

Deja berkata, pada awalnya jalan cerita untuk Menepis Rawan sedikit berbeza berbanding hasil terakhir.

“Pada awalnya, jalan ceritanya adalah wanita itu kembali kepada kekasih hatinya kerana rasa cinta masih kuat. Namun, selepas beberapa ketika, saya ubah jalan ceritanya,” katanya.

Sedikit sebanyak, Deja inginkan peminat yang mendengar lagunya menjadi lebih kuat saat berdepan dengan kekecewaan dalam hidup.

“Sampai satu tahap, apabila terlalu banyak harapan diberikan dan rasa kecewa yang sangat sakit, saya hanya mampu bertawakal dan mendekatkan diri dengan Allah.

“Menerusi lagu ini, saya nak ajak pendengar supaya sentiasa sedar bahawa kita tidak bersendirian, sebaliknya Allah sentiasa bersama dengan kita,” katanya.

Yang pasti, Deja mengharapkan kemunculan semulanya akan diterima baik peminat memandangkan lagu dan video muzik Menepis Rawan kini sudah dilancarkan di YouTube.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 4:30am
d