rap

Masalah dengan ibu selesai, Sufie nikah 21 September [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Sufie Rashid menjelaskan masalah yang timbul dengan ibunya, Irma Suriana Mahmud ketika dia bertunang dengan Nurulain Md Yusof pada 15 Disember lalu sudah selesai.

Sufie, 28, atau nama sebenarnya Muhammad Sufi Rashid berkata, ibu dan adik-beradiknya akan terbabit dalam majlis perkahwinan yang bakal berlangsung pada 21 September ini.

“Biasalah, kadang-kadang orang sekeliling nak bercakap bagi pihak keluarga hingga menjadikan ia rumit. Dengan keluarga memang tak ada masalah dan sudah lama selesai iaitu selepas majlis tunang tempoh hari. Mak pun sudah tenang dan tidak ada memuat naik status lagi.

“Majlis di Singpura pada 28 September nanti mak memang akan terbabit. Begitu juga dengan ayah dan semua keluarga dekat atau jauh. Semua ada dan tiada siapa terkecuali,” katanya kepada Harian Metro.

Sufie yang juga juara program Akademi Fantasia 2015 berkata, selepas empat bulan bertunang ibunya belum berkesempatan berjumpa dengan bakal menantunya itu.

“Berjumpa belum berkesempatan lagi. Sebab masing-masing sibuk. Mak di Singapura dan kami di sini. Tapi, apa yang penting mak dan adik beradik lain sudah okay.

“Sebelum bertunang mak pernah jumpa, tapi sejak bertunang belum. Kalau pulang ke Singapura pun tengok nasib. Kadang -kadang saya balik sehari dua saja dan tunang pula tidak ikut sekali,” katanya.

Dalam masa sama, Sufie yang popular dengan lagu Aku Sanggup menganggap apa yang berlaku adalah dugaan bertunang sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

Malah, Sufie juga tidak takut berdepan sebarang kontroversi selagi yakin dirinya berada di pihak benar.

“Saya sebenarnya tidak bimbang. Kalau kita tak buat sebarang kesalahan tidak perlu takut. Sebelum ini pun orang kenal saya yang ada kontroversi keluarga. Bagi saya ia lebih baik daripada kontroversi lain.

“Apa yang berlaku sebahagian daripada dugaan saya dengan tunang. Orang cakap, kalau nak kahwin kena ada restu kedua ibu bapa. Tapi, macam hal saya, restu keluarga ada, tapi disebabkan saya nak kahwin dengan orang luar ada juga yang mempertikaikan.

“Saya dan tunang senang saja, kami buat yang terbaik dengan ikhlas. Kami mahu buktikan pada orang yang tidak ada sebarang masalah. Alhamdulillah, setakat ini sudah 70 peratus persiapan siap,” katanya.

Sufie dan Ain bakal bernikah pada 21 September ini di Putrajaya disusuli dengan majlis resepsi pada keesokannya di Damansara, manakala majlis di Singapura pada 27 September.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 10:41am
d