rap

Awi tetap kawan Atikah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS lebih sebulan perkahwinan mereka dibatalkan di saat-saat akhir, penyanyi Awi Rafael tidak kekok untuk terus berhubung dengan bekas tunangnya yang juga pelakon, Atikah Suhaimi.

Awi berkata, dia dengan Atikah masih berkawan dan mereka menerima apa yang berlaku serta sudah lakukan yang terbaik.

“Saya tak rasa kekok langsung untuk berkawan dengannya kerana kami sudah cuba untuk lakukan sesuatu untuk hubungan kami.

"Kalau kami bergaduh atau apa, itu mungkin akan menyebabkan rasa kekok. Tapi, sebab kami tak bergaduh, jadi kami okay saja," katanya.

Selebriti dari Singapura ini melangsungkan pertunangan pada 17 Mac 2018 selepas lapan tahun berkenalan. Mereka sepatutnya bernikah pada 17 Mac lalu di Singapura, namun Awi mengumumkan bahawa majlis perkahwinan mereka dibatalkan tiga hari sebelum itu.

Awi berkata, dalam tempoh itu dia banyak sibukkan diri dengan kerja dan bakal membuka studio baru bersama rakannya yang juga pelakon, Aiman Hakim Ridza.

"Dalam sebulan ini, saya memang kebetulan sibuk dengan kerja-kerja di belakang tabir serta menghadiri beberapa acara. Studio kami nanti dikenali sebagai Newsantara Studio,” katanya.

Menurut Awi, Atikah juga adalah artis naungan Newsantara Studio.

“Kami memang bekerja di bawah satu bumbung secara profesional dan tak lama lagi, Atikah akan muncul dengan single baru berjudul Cintaku Puk Puk Puk," katanya.

Ditanya sama ada dia akan memulakan hidup baru dengan wanita lain selepas ini, Awi mengakui perlukan sedikit waktu.

"Saya perlukan masa untuk 'move on'. Saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk diri saya dan sentiasa menjadi orang yang positif.

“Apabila saya rasa seperti tertekan dan sebagainya, saya sedar di luar sana masih ramai lagi orang yang kisah hidupnya lebih susah daripada saya. Itu buatkan saya bersyukur dengan hidup saya," katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 12:20pm
d