rap

Siti Nurhaliza ada peluang besar menang PRU 15

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendahului undian yang dibuat syarikat penyelidikan digital, Nobleman Creation mengenai selebriti yang mampu memenangi pilihan raya umum sekiranya bertanding pada PRU 15 akan datang.

Undian yang diambil berdasarkan carian nama di Google pada setiap bulan itu menyaksikan Siti, 40, memperoleh lebih 90,000 undian.

Siti berkata, dia yang masih aktif dalam bidang seni dan terbabit dengan perniagaan membolehkan namanya menjadi pilihan pelayar Internet.

“Saya ada baca mengenai undian ini dan ia berdasarkan carian nama saya di Google.

“Sebagai selebriti yang sentiasa ada aktiviti, produk dan sesuatu mahu dipromosikan, saya ataupun selebriti lain kerap muncul terutamanya dalam carian Google untuk pelayar internet mendapatkan perkembangan terkini.

“Selain itu, diakui selepas bercuti hamil dan bersalin, saya kembali aktif serta banyak aktiviti yang dilakukan. Ini juga membuatkan peminat turut mengikuti saya di carian internet,” katanya kepada Harian Metro.

Undian itu dibuat selepas pelawak terkenal Ukraine, Volodymyr Zelensky memenangi pilihan raya Presiden negara itu.

Keputusan itu menunjukkan Zelensky yang tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia politik dipilih menjadi ketua negara. Memandangkan potensi besar yang dimiliki oleh selebriti untuk menang dalam pilihan raya, Ketua Pegawai Eksekutif Nobleman Creation’s Digital Marketing, Na’im Brundage menjalankan satu kajian bagi mengenal pasti lima selebriti Malaysia yang akan dipilih jika mereka bertanding dalam pilihan raya.

Selain Siti, empat selebriti lain terdiri daripada Neelofa (70,000), Yuna (60,000), Aiman Tino (40,000) dan Fattah Amin (30,000).

Mereka top 5 daripada 300 profil selebriti yang ditapis.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 4:08pm
d