rap

Amar dan Amyra bakal bergandingan

Oleh Ramlah Zainal

SEKIAN lama tidak bergandingan, pasangan pelakon popular Amar Baharin dan Amyra Rosli bakal ‘disatukan’ sebagai suami isteri dalam projek drama berat tidak lama lagi.

Menurut Amar, dia bersetuju menjayakan drama itu kerana tertarik dengan kekuatan naskhahnya.

“Memang kami tolak tawaran berlakon sebagai suami isteri sebelum ini kerana bimbang menyentuh soal agama dan hukum syarak.

“Namun, naskhah yang ditawarkan kali ini sangat menarik dan kami sedia pertimbangkan.

“Malah, Amyra sendiri tertarik dengan watak yang ditawarkan selepas membaca skrip,” katanya kepada Harian Metro.

Amar bagaimanapun berkata, dia dan isterinya akan berbincang serta meneliti skrip terbabit terlebih dahulu.

“Kami perlu tapis dialog dan jika ada babak pergaduhan yang boleh menyentuh hukum syarak dan menimbulkan masalah dalam hubungan suami isteri kemudian hari.

“Maklumlah, berlakon dengan isteri lebih mencabar apatah lagi kami memang pasangan suami isteri dalam hidup sebenar,” katanya.

Ditanya drama yang pernah dilakonkan bersama Amyra, kata Amar, mereka pernah bergandingan sebagai suami isteri dalam drama arahan Rashid Sibir tidak lama dulu.

“Ketika itu kami baru sahaja berkahwin. Ikutkan memang banyak tawaran yang mahukan kami bergandingan dalam drama tetapi terpaksa tolak. “Bukan hanya penerbit dan pengarah drama mahu lihat kami tampil sebagai pasangan, peminat pun sama. Mereka selalu bertanya bila saya dan Amyra akan bergandingan.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 6:12pm
d