rap

Wujudkan agensi muzik tanah air

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENGARAH Festival KL Jamm, Datuk Norman Abdul Halim menggesa kerajaan supaya mewujudkan satu agensi berkaitan industri muzik yang bertindak sebagai penyelia dan penyelaras bagi mendorong industri muzik Malaysia ke hadapan.

"Contohnya dalam penganjuran Festival KL Jamm sendiri, saya bertindak sendirian pergi dari satu kementerian ke kementerian lain dan dari satu badan kerajaan ke badan kerajaan lain untuk meraih sokongan.

"Biasanya festival sebesar ini dianjurkan oleh kerajaan dan bukannya pihak swasta seperti kami.

"Tetapi apa yang kami buat ini adalah langkah pertama, tidak kisahlah walaupun dikendalikan oleh pihak swasta," katanya pada pelancaran Festival Muzik Antarabangsa KL Jamm di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur yang bermula semalam.

Katanya, memang ada keperluan untuk mewujudkan agensi muzik itu dan jika menjadi kenyataan, ia akan menjadi satu langkah ke arah yang betul.

"Agensi ini akan menjaga kepentingan industri muzik keseluruhannya.

"Bukan sahaja untuk rakaman dan persembahan secara langsung tetapi juga elemen lain dalam penerbitan, pendidikan, pemasaran dan sebagainya.

"Kita perlukan satu badan yang melihat industri muzik secara serius. Bukan saja semata-mata sebagai acara sampingan,” katanya.

Mengambil contoh, Norman berkata, industri filem dan dokumentari dibantu oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Kalau lihat permainan video dan animasi ada MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia). Tetapi tiada agensi yang ditugaskan untuk menyelia pembangunan muzik.

"Apa yang berlaku sekarang, masing-masing buat hal sendiri. Samalah macam kami anjurkan Festival KL Jamm, nasib baik ada juga sokongan serba sedikit daripada rakan industri.

"Artis kita yang berjaya masuk ke pasaran antarabangsa seperti Yuna, terpaksa bergerak sendirian. Tidak ada usaha bersepadu," katanya.

Menurutnya, Korea Selatan contohnya, mempunyai strategi menyeluruh membabitkan pelancongan, budaya dan kandungan kreatif yang bergerak seiringan.

"Sama ada agensi ini diwujudkan ataupun diletakkan di bawah satu badan, kalau contohnya FINAS boleh dikembangkan skop mereka, pun okey juga.

"Mungkin nak wujudkan satu agensi baru akan makan masa. Apa salahnya antara agensi kerajaan yang ada ditukar mandatnya dan ditambah portfolio muzik.

"Filem tanpa muzik tidak bermakna. Bayangkan filem Madu Tiga tanpa lagu Madu Tiga. Juga filem Ombak Rindu tanpa lagu popular itu," katanya.

Norman berkata, industri muzik adalah industri berpengaruh sama ada di pasaran tempatan mahupun antarabangsa dengan pasaran tahunan dunia berjumlah AS$30 bilion (kira-kira RM124 bilion) untuk rakaman dan AS$29 bilion (kira-kira RM112 bilion) untuk muzik secara langsung.

Festival KL Jamm dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Ia menampilkan pelbagai konsert di MITEC sejak semalam hingga esok.

Antara artis yang terbabit menjayakan konsert ialah NCT Dream dari Korea, Datuk Sheila Majid, Datuk Zainal Abidin, Datuk Ramli Sarip, Zamani, Bunkface dan Ruffedge.

Festival itu turut menampilkan forumuzik, simposium antarabangsa dan wacana intelektual mengenai subjek muzik, serta Musicxpo dan pameran berorientasikan muzik.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 4:12pm
d