rap

Cara Amirul sangat budiman

Oleh Najiy Jefri

MESKIPUN teman lelakinya, Amirul Hafiz, 26, dua tahun lebih muda daripadanya, pelakon dan pengacara Ain Edruce tidak pernah melihat jarak usia itu sebagai satu masalah.

Sebaliknya, Ain yang kini berusia 28 tahun berkata, dia yakin Amirul mampu menjaga serta membimbingnya ke arah lebih baik.

“Walaupun Amirul muda dua tahun, saya percaya dia mampu menjadi suami bertanggungjawab. Ini kerana dia matang dan serius dalam setiap perkara dilakukannya.

“Lagipun, saya tertarik cara dia untuk menambat hati saya. Jujur, selain Amirul ada juga lelaki lain pernah menghantar pesanan di Instagram untuk mengenali saya dengan lebih dekat. Namun, caranya berbeza. Amirul sangat budiman ketika menyatakan hasratnya untuk berkenalan.

“Dia bukan jenis yang berlebih-lebih dalam usahanya memenangi hati saya. Dia juga tidaklah terlalu romantik atau manja tidak bertempat, sebaliknya suka berterus-terang dalam banyak hal,” katanya.

Khamis lalu, gambar dikongsikan Ain ketika disarungkan cincin oleh seorang wanita dipercayai ibu kepada buah hatinya di laman Instagram bukanlah majlis pertunangan seperti yang digembar-gemburkan netizen sebaliknya hanya merisik.

Tambah pelakon drama 30 Pesanan Suara menerusi slot Akasia yang bakal ditayangkan di saluran TV3 Ramadan nanti, ramai peminat salah faham dengan menganggap dia merahsiakan majlis pertunangan.

“Sebenarnya majlis di kediaman saya di Sentul bukan majlis bertunang tetapi merisik.

“Hasil perbincangan kedua-dua keluarga, kami sepakat mengadakan majlis pertunangan pada Aidilfitri nanti. Doakan semuanya dipermudahkan,” katanya.

Hampir setahun mengenali hati budi, Ain sudah lama mengimpikan untuk hidup berumah tangga memandangkan usianya menjangkau 28 tahun.

“Saya sering bertanya kepada diri sendiri sama ada sudah bersedia untuk berkahwin atau tidak?

“Bagi saya, selagi tidak diberi tanggungjawab ini saya tidak tahu. Lagipun, berapa lama lagi saya nak hidup solo saja. Saya memang teringin nak ada keluarga dan zuriat,” katanya.

Ditanya bila akan melangsungkan pernikahan, Ain berkata ikut perancangan tahun depan.

“Apa yang menarik mengenai keluarga ini kami diberi pilihan tentukan majlis pernikahan nanti.

“Justeru kami merancang untuk bernikah selewat-lewatnya sebelum Februari.

“Doakan semoga majlis pertunangan serta pernikahan saya nanti berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 5:00am
d