rap

'Cukup-cukuplah watak wanita lemah' - Izara Aishah

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA menolak untuk melakonkan watak wanita lemah, dipukul, dirogol dan ditindas golongan lelaki selepas ini.

“Cukup-cukuplah cerita kaum lelaki yang memandang rendah dan menindas kaum wanita kerana zaman itu sudah berlalu,” kata Izara Aishah ketika ditanya perkembangan terkini kariernya.

Menurut pelakon drama bersiri 100 episod Jodoh-Jodoh Anisa itu, dia mahu melakonkan watak yang mengangkat martabat wanita .

“Saya memilih untuk melakonkan watak wanita yang kuat, tabah dan berdikari dalam menempuh kehidupan.

“Kaum wanita memang nampak lembut di luar tetapi dalamannya kuat dan masih ada perasaan hormat yang tinggi kepada kaum lelaki sebagai pemimpin,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas dakwaan dia memperlahankan karier seni selepas berkahwin, Izara menafikan perkara itu.

“Saya masih aktif berlakon cuma selektif dengan watak ditawarkan sejak dulu. Projek terbaru ialah filem Ombak Rindu 2 arahan Osman Ali untuk Iflix.

“Bila sudah berkahwin memang suami, Adib Khalid akan meneliti skrip naskhah yang ditawarkan terlebih dahulu.

“Kalau watak yang ditawarkan menepati citarasa dan suami kata okay barulah saya terima,” katanya.

Bagaimanapun, kata Izara, keutamaannya tetap terhadap rumah tangga yang dibina lebih setahun lalu.

“Bila sudah berkahwin, saya pikul tanggunjawab besar sebagai isteri.

“Minat macam manapun dalam bidang seni, rumah tangga tetap diutamakan dan karier seni kini jatuh nombor dua,” katanya.

Izara berkahwin dengan Adib Khalid pada 17 November 2017.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 1:07pm
d