rap

Hangatkan kembali genre nasyid

Oleh Amirul Haswendy Ashari

TIMBALAN Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik mencadangkan Festival Muzik Antarabangsa KL Jamm yang berakhir semalam wajar dijadikan acara tahunan.

Menurut Muhammad Bakhtiar, 2020 adalah Tahun Melawat Malaysia dan kementerian boleh memberikan sokongan kewangan, insentif, lokasi acara dan mempromosi muzik tanah air.

“Kekangan sebelum ini kerana peruntukan untuk aktiviti seni dan budaya tidak banyak walhal seni dan budaya ada pelbagai cabang dan banyak pihak memohon peruntukan.

“Saya berpendapat pihak kerajaan perlu mencari jalan untuk membantu,” katanya.

Muhammad Bakhtiar ditemui selepas Konsert Ruff-Jamm di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam berkata, kementeriannya akan memberikan sokongan penuh kerana sedar ada penggiat industri muzik tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Katanya lagi, kerajaan patut mengiktiraf satu atau dua platform untuk bekerjasama kerana semua pihak ada kekuatan tersendiri.

“Semua pihak kena bekerjasama untuk memartabatkan muzik tanah air kerana ini adalah masa terbaik. Kita tidak boleh lagi menganaktirikan artis sendiri,” katanya.

Beliau turut mengesyorkan genre nasyid diberi perhatian serius kerana Malaysia sebenarnya agak ke depan dalam irama itu di dunia.

Sebagai contoh katanya, Korea Selatan dipandang tinggi kerana berjaya menakluk dunia menerusi gelombang kpop.

Katanya, Malaysia juga boleh mengeksport genre nasyid ke luar negara kerana ia ada ramai pengikut.

“Raihan sebelum ini sudah membuktikan genre ini mampu berdiri megah di pentas antarabangsa. Genre ini ada potensi yang sangat besar.

“Masalahnya, kita tidak fokus memartabatkan genre ini,” katanya tidak menolak kemungkinan menempatkan genre itu dalam kalendar acara sama tahun depan.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan ibarat payung untuk semua aktiviti berkaitan muzik dan kesenian.

Oleh itu, beliau menyarankan kementerian lain perlu permudahkan usaha semua agensi berkaitan demi kebaikan industri seni negara.

KL Jamm adalah festival muzik yang membabitkan penyertaan penggiat seni muzik dari dalam dan luar negara bermula 26 April lalu dan berakhir semalam.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 5:42pm
d