rap

Bukti hargai muzik

Oleh Amirul Haswendy Ashari

KONSERT Ruff-Jamm kumpulan Ruffedge dengan penampilan khas Sam dan Pot Innuendo bersama kumpulan duo Billy Zulkarnain pada KL Jamm Ahad lalu menarik hampir 1,000 penonton.

Sein berkata, mereka bersyukur dengan kehadiran penonton pada malam itu walaupun Ruffedge baru sahaja mengadakan konsert di Kuala Lumpur dan Singapura tahun lalu.

“Pada mulanya terfikir juga wajar atau tidak kami terbabit dalam persembahan ini kerana baru sahaja buat konsert. Namun, apabila berbincang, kami bersetuju dan buat kerana kecintaan mendalam terhadap bidang ini.

“Kalau ada 100 penonton pun tak mengapa bagi kami tetapi bergantung juga kepada penganjur kerana mereka pasti mahu lihat dari sudut bisnes.

“Apabila mereka (penganjur) kata okay, maka kami teruskan,” katanya.

Kumpulan yang dianggotai Amer, 42; Cat Farish, 45; Azan Addin, 45; Zain Hamid. 41; Mode, 44; dan Sein, 36, mendedahkan pemilihan lagu pada malam itu berdasarkan karya hit mereka selain lagu Inggeris popular 90-an yang sentiasa menjadi siulan mereka ketika sesi ‘jamming’.

Zain pula berpendapat, kehadiran dua ahli Innuendo dan duo Billy Zulkarnain menjadikan persembahan mereka pada malam itu sangat berbeza.

Katanya, ia membuatkan mereka mahu melakukan gabungan itu semula pada masa depan.

“Kalau boleh nak buat ‘show’ macam ini lagi. Rasa menarik dapat berkumpul bersama rakan-rakan,” katanya.

Dalam pada itu, Azan bersyukur kerana mereka berjaya mengimarahkan penggiat dan peminat dalam konsert.

Bagaimanapun, perkara penting bagi mereka adalah mahu mengembalikan perkataan ‘unplugged’.

Katanya, Ruffedge mahu menterjemahkan maksud sebenar ‘unplugged’ kepada peminat dan masyarakat.

“Adakah kita sudah mencapai tahap ‘unplugged’ itu sebab ia berbeza dengan istilah konsert.

“Kami teringin bunyi yang ‘crispy & clear’ tanpa menari seperti yang kami lakukan sebelum ini,” kata Azan lagi.

Katanya, apabila mereka mengambil keputusan kembali bersama, mereka mahu ‘menjamah’ semua bahagian.

Baginya, alang-alang mahu menyanyi, biarlah secukupnya. Lalu mereka terfikir, apakah arah lain yang boleh mereka lakukan?

“Nyanyi tepi jalan, konsert besar-besaran, semuanya kami sudah buat. Mungkin kami boleh tambah lagi kaedah lain seperti Konsert Jalanan dengan kehadiran penonton yang ‘gila’.

“Tapi buat masa ini, kami kena lakukan konsert berbayar dulu sebab mahu rakyat Malaysia buktikan bahawa mereka menghargai muzik,” katanya.

Azan berpendapat apabila muzik dihargai, barulah ramai penaja berminat untuk menaja artis tempatan selain kebajikan dan pendapatan anak seni terpelihara.

“Kami faham apa yang KL Jamm cuba buat dan ia usaha yang bagus serta perlukan bantuan ramai untuk saling mempromosi,” kata Azan.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 4:30am
d