rap

Westlife miliki hubungan istimewa dengan peminat Malaysia

Oleh Georgie Joseph

KUMPULAN dari Ireland, Westlife mengakui sangat terharu selepas mendapat tahu tiket konsert selama dua hari mereka di Malaysia pada Ogos nanti terjual habis dalam tempoh 32 jam.

Anggotanya Shane Filan, 39, yang ditemubual menerusi telefon berkata, berita gembira itu sekali gus menyemarakkan lagi semangat mereka untuk memberikan persembahan paling hebat.

“Ia suatu perasaan yang sungguh luar biasa apabila mengetahui tiket kami habis terjual secepat itu. Sekali gus, khabar ini memberikan kami keyakinan serta keterujaan untuk kembali ke Malaysia.

“Pada konsert itu, kami akan memberikan persembahan terbaik yang Westlife pernah lakukan meskipun harus membawanya ke tahap jauh lebih berbeza,” katanya.

Shane juga tidak menafikan peminat dari Malaysia adalah antara yang paling dekat dan bermakna di hati mereka.

“Tanpa sebarang keraguan, Westlife sememangnya memiliki hubungan yang sangat istimewa dengan Malaysia. Kubu peminat kami di sana memang cukup kuat.

“Bahkan, sewaktu saya ke sana secara sendirian beberapa tahun kebelakangan ini mempromosikan kerjaya solo pun, saya dapat rasa betapa Malaysia menghargai Westlife,” katanya.

Lebih 14,700 tiket konsert Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ In Kuala Lumpur mendapat sambutan luar biasa apabila habis terjual dalam tempoh 32 jam saja selepas pra-penjualan tiket dibuka pada 13 April lalu.

Peminat fanatik kumpulan berkenaan ternyata sanggup bermalam di lokasi penjualan tiket itu semata-mata tidak mahu kempunan membeli tiket terbabit.

Bahkan, mereka turut berbaris panjang dan tidak kisah menunggu berjam lamanya sementara giliran tiba.

Westlife yang dianggotai Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan, dan Mark Feehily bakal mengadakan konsert di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada 8 dan 9 Ogos depan.

Kumpulan itu cukup popular pada penghujung 1990-an dan awal 2000.

Antara lagu hit mereka termasuklah If I Let You Go, Flying Without Wings, My Love, World of Our Own, Queen of My Heart, Uptown Girl, I Have A Dream, Swear It Again dan banyak lagi.

Bagaimanapun, pada 2012 kumpulan itu dibubarkan manakala seorang anggotanya iaitu Brian McFadden sudah terlebih dulu keluar daripada Westlife pada 2004.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 7:05pm
d