rap

Tunai impian arwah bapa

Oleh Norhayati Nordin

MESKIPUN tahu laluannya membina karier nyanyian agak sengit, bakat baharu, Nik Shahidan Nik Mohammad, 18, nekad mencuba nasib.

Nik Shahidan atau mesra dengan panggilan Idannn Mohammad berkata, dia tekad memberanikan diri demi merealisasikan impian Allahyarham bapanya.

“Arwah ayah, Nik Mohammad Nik Leh sangat meminati nyanyian tetapi sayangnya dia tidak berjaya mendapat peluang diimpikan.

“Namun, melihat pada minat saya terhadap nyanyian, arwah sangat menyokong dan dia mahu impian itu menjadi kenyataan suatu hari nanti.

“Alhamdulillah, saya bersyukur bakat dimiliki ini mendapat perhatian Awal Music Entertainment dan akan muncul de­ngan lagu solo pertama,” katanya.

Berbicara mengenai lagu itu, Idannn berkata dia sangat teruja mahu merakamkan karya diilhamkan rakan baik yang disifatkan kena dengan jiwa.

“Saya rasa sangat bertuah mendapat lagu berjudul Yang Terakhir dicipta seorang rakan kerana cukup dekat dengan cerita hidup sendiri.

“Lagu Yang Terakhir bergenre pop balada ini lebih ke arah motivasi diri buat saya untuk berusaha mengejar impian hingga berjaya,” katanya.

Kata anak keempat daripada lima beradik ini, satu tanggungjawab besar baginya mencipta nama sebagai penyanyi kerana saingan yang besar.

“Bagaimanapun, saya juga menjadikan kejayaan diperoleh penyanyi remaja popular, Haqiem Rusli sebagai inspirasi. Saya begitu meminati Haqiem.

“Saya melihat dia bukan sekadar berbakat dalam nyanyian tetapi dalam penciptaan lagu juga. Jadi, saya perlu berani mencuba jika ingin berjaya.

“Kejayaan buat seseorang takkan datang bergolek tanpa usaha dan keberanian. Oleh itu, walaupun kurang pengalaman saya kena cekal mencuba,” katanya.

Sebagai pengenalan pada lagu Yang Terakhir nyanyian Idannn, ia sudah dimuat naik di platform digital YouTube sejak sebulan lalu.

Kebanyakan ulasan komen diberi pelayar YouTube untuk lagu Yang Terakhir sangat positif dan sekali gus membuatkan Idannn lebih yakin dengan percubaan pertamanya.

Setakat ini, lagu Yang Terakhir sudah mendapat lebih 23,000 tontonan dengan lebih 1,000 pendengar menyukai melodi dan lirik lagunya.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 4:30am
d