rap

Rancang konsert sendiri

Oleh Amirul Haswendy Ashari

MUNCUL menyampaikan dua lagu secara solo dan dua secara duo pada konsert Ruff-Jamm pada KL Jamm Ahad lalu, diperakui belum cukup buat peminat kumpulan Innuendo melepaskan rindu mereka.

Bertemu dengan Pot dan Sam selepas konsert itu, mereka akui ia momen yang agak lama dinantikan selepas sekian lama.

“Apabila Ruffedge ajak buat persembahan bersama di pentas pada malam itu, kami terus bersetuju.

“Sebab kami tahu ramai peminat yang merindui lagu Innuendo. Tambahan pula Ruffedge sebelum ini pun sudah banyak kali menyanyikan lagu kami di pentas. Kami berterima kasih kepada mereka,” kata Sam.

Bagaimanapun, keba­nyakan peminat berharap dua lagi anggota iaitu Taj dan Reymee turut serta pada malam itu.

Innuendo yang ditubuh­kan pada awal 1990-an dianggotai Sam (Shamsul Azhar Nazeer), Taj (Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir), Pot (Saiful Amir Abdul Wahab) dan Reymee (Reymee Mohamed Hussein).

Ditanya dari sudut itu, Sam mengakui dua ahli mereka ada sebab tersendiri tidak dapat menyertai konsert pada malam itu.

Katanya, Taj baru kehilangan bapa tercinta dan memerlukan masa untuk kembali ke pentas.

“Reymee pula memilih untuk melalui jalan sendiri dalam bidang perniagaan dan tidak mahu lagi terbabit membuat persembahan.

“Kami sudah banyak kali memujuk Reymee tapi dia tetap dengan pendirian enggan terbabit dalam dunia hiburan.

“Katanya, setakat lepak minum dan ‘jamming’ saja, tiada masalah. Bukan kembali menyanyi atas pentas,” kata Sam menghormati keputusan rakannya itu.

Tanpa berselindung, Sam dan Pot mengakui ada perancangan untuk kembali dengan konsert sendiri.

Apatah lagi, ada peminat yang menyatakan hasrat mahu menaja konsert khas Innuendo.

Kata Sam, mereka sudah bertemu pihak pengurusan penaja dan memberitahu tidak kisah seandainya Innuendo kembali bertiga saja tanpa Reymee.

“Tapi kalau nak buat konsert, peminat lebih mengetahui dua lagu saja, Selamanya dan Belaian Jiwa.

“Lagu lain tidak mendapat perhatian stesen radio sebelum ini, jadi kami kena ‘build-up’ dengan perkenalkan semula lagu Innuendo terdahulu,” katanya.

Pot pula berpendapat untuk muncul dengan lagu baharu, mereka mungkin akan menjenamakan semula nama kumpulan.

Kata Pot, mereka mahu ‘menguji pasaran’ dengan memberi nama baharu tapi masih mengekalkan bunyi Innuendo asal.

“Macam kumpulan Gorillaz dari United Kingdom atau Noah dari Indonesia yang sebelum ini dikenali dengan nama kumpulan Peterpan.

“Malah kumpulan KRU juga pernah melakukannya melalui penubuhan kumpulan Tyco pada 2000,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perancangan menggunakan nama baharu itu masih dalam peringkat cadangan.

Kata Pot lagi, nama Innuendo masih diperlukan untuk menjadi ‘platform’ perkenalan diri kepada peminat lama dan baru.

“Apa saja nama yang bakal kami gunakan, kalau boleh biarlah apabila melakukan pencarian di Google, adalah nama yang mewakili kami.

“Bukan lagu Innuendo yang dipopularkan kumpulan Queens,” kata Pot berseloroh.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 5:00am
d