rap

Bercuti pun kena kecam ke?

Oleh Georgie Joseph

PENYAMPAI radio Era FM dan pengacara, Hani Fadzil yang sedang bercuti di Maldives kesal apabila percutiannya itu menjadi isu dalam kalangan netizen yang turut mempersoalkan punca pendapatannya.

Hani, 28, berkata, dia tidak sangka ada golongan yang terdetik mempertikaikan percutian itu.

“Saya terkejut apabila ada netizen tiba-tiba menulis komen bertanya, besar sangatkah gaji penyampai radio sampai boleh bercuti dengan begitu mewah.

“Sebenarnya percutian saya ke Maldives adalah atas tajaan satu pihak, manakala tiket penerbangan adalah hadiah seorang rakan karib sempena perkahwinan saya. Tiada niat langsung saya nak menunjukkan saya ini hidup mewah.

“Saya hanya mahu bercuti menenangkan fikiran. Sebelum ini pun, banyak kali saya melancong ke Eropah dan Korea Selatan, okay saja serta tak jadi isu,” katanya.

Menurut Hani, percutian itu sudah lama dirancang selain percutian bulan madu bersama suami, Faiz.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, kehidupan saya banyak fokus kepada kerjaya. Jadi, kali ini saya ambil peluang ini untuk bercuti dengan suami memandangkan kami sama-sama mendapat pelepasan. Kalau tidak, sukar untuk kami bercuti bersama disebabkan kekangan kerja,” katanya.

Terdahulu, ada peminat yang meninggalkan komen mempertikaikan gaji penyampai di akaun Instagram Era FM selepas memuat naik gambar percutian Hani.

Hani mendirikan rumah tangga dengan Wan Faiz Wan Noor, 32, pada Julai 2017 dan mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 6:51pm
d