rap

HASA ajak hayati surah al-Quran

Oleh Syanty Octavia Amry

MAHU al-Quran terus diperkasakan, program Himpunan Artis Sayang al-Quran kali keempat (HASA 4.0) diteruskan lagi.

Bakal diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, HASA 4.0 akan bermula jam 3 petang pada 11 Mei ini bersamaan 6 Ramadan.

Bertemakan Ar Rahman Ku Seru Nama Mu, program itu bakal menghimpunkan seramai 800 anak seni dari pelbagai bidang.

Pengarah Persembahan HASA, Farihin Abdul Fatah berkata, pihaknya gembira dan terharu apabila program itu berjaya diteruskan lagi buat kali keempat.

“Alhamdulillah kali ini HASA dianjurkan di tempat yang sama untuk kali kedua. Kita mahu program ini diperkasakan lagi pada masa akan datang.

“Ini kerana kita mahu Malaysia menjadi model untuk program seumpama ini kepada negara luar.

“Insya-Allah pengalaman menguruskan program ini pada tahun lalu diharap akan lebih melancarkan acara sepanjang berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Penaung HASA, Ustaz Zul Ramli M Razali berkata, program HASA bukanlah bertujuan menyuruh mereka yang datang membaca al-Quran, sebaliknya lebih kepada menghayati surah terdapat di dalam al-Quran.

“Kita tidak mahu ramai yang salah faham akan program ini. HASA adalah sebuah persembahan untuk kita menghayati keindahan al-Quran dan bacaannya.

“Kita menggalakkan orang datang untuk sama-sama berkongsi pengalaman sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

HASA adalah program anjuran Usrah Fitrah dan The SARJANA yang menghimpunkan ramai artis dalam menggerakkan program berkenaan.

Ia juga turut mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 5:30am
d