rap

Tersalah 'mendarat', ligamen terkoyak

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Hairul Azreen, 31, berdepan masalah besar apabila ligamen kakinya, terkoyak selepas terbabit dalam kemalangan di set penggambaran filem, Rabu lalu.

Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris berkata, kemalangan itu berlaku ketika dia melakukan aksi terjun dari tingkat dua sebuah bangunan.

"Kejadian itu berlaku dua hari lalu. Ketika itu, saya perlu terjun dari tingkat dua ke satu platform yang memang lengkap dengan ciri keselamatan. Namun, cubaan kali kedua gagal apabila saya tersalah 'mendarat'," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia kemudian dibawa ke hospital berhampiran lokasi penggambaran dan doktor mengesahkan bahawa ligamen kakinya terkoyak.

"Doktor sahkan ligamen terkoyak dan saya perlu berehat selama sekurang-kurangnya lapan minggu. Dalam tempoh itu, saya kena berehat dan tak boleh melakukan aktiviti lasak seperti berlari, bahkan turun tangga sekali pun," katanya.

Namun, Hairul tetap berkeras untuk menyelesaikan baki penggambaran filem itu.

"Pihak produksi meminta saya supaya berehat terlebih dulu, namun saya nak juga selesaikan penggambaran sebab dah tak banyak lagi babak yang tinggal. Ada beberapa babak aksi lagi, jadi saya yakin saya boleh buat.

"Lagi pula, isteri saya pun akan bersalin tak lama lagi. Jadi, saya kena siapkan juga kerja penggambaran dan nanti boleh bantu dia untuk jaga anak," katanya.

Semalam, Hairul sudah kembali ke set menjalani penggambaran yang menurutnya, hanya tinggal berbaki kira-kira seminggu.

Sebelum ini, ketika menjalani penggambaran filem Paskal the Movie, Hairul terbabit dalam kemalangan di set yang menyebabkan tangannya patah.

"Dulu, sewaktu menjalani penggambaran Paskal, saya patah tangan. Jadi, saya berdoa supaya penggambaran filem kali ini berjalan lancar tanpa sebarang kemalangan.

"Namun, nak dijadikan cerita, berlaku juga kemalangan," katanya.

Selain Hairul, filem Wira juga dibintangi oleh barisan pelakon hebat antaranya Henley Hii, Ismi Melinda, Josiah Hogan dan Dain Said.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 7:05pm
d