rap

Rita terbit program realiti bola sepak [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON terkenal, Rita Rudaini bakal menerbitkan program realiti pencarian bakat pemain bola sepak kanak-kanak di seluruh negara.

Rita Rudaini Mokhtar, 43, berkata, selepas dua tahun menubuh dan menguruskan kelab RR Cougars FF, dia terpanggil untuk mencungkil bakat baru bola sepak tempatan.

Menurutnya, dia sudah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith untuk merealisasikan projek terbarunya itu.

“Saya sudah mengadakan perbincangan bersama menteri di kementerian berkaitan dan membentangkan kertas kerja. Maklum balas daripada mereka amat baik.

“Sekiranya berjaya dilaksanakan kelak, kami bercadang untuk mengadakan kolaborasi bersama kelab bola sepak luar sama ada rakan serantau atau kelab di Eropah,” katanya kepada Harian Metro.

Rita ketika ditemui pada sidang media kejohanan RR Junior Cup 2019 di Kuala Lumpur hari ini berkata, program realiti itu menyasarkan pencarian bakat muda dalam kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

Berkongsi mengenai kejohanan RR Junior Cup 2019, Rita berkata, ia bakal berlangsung pada 20 dan 21 Julai ini di Arena Bola Sepak Eco Ardence Setia Alam, Shah Alam.

Memasuki tahun kedua penganjuran katanya, kejohanan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu bawah lapan tahun, 10 dan 12.

“Pada tahun ini kami menjangkakan penyertaan kelab bola sepak luar negara seperti dari Korea dan Jepun. Kelab tempatan yang sudah mengesahkan penyertaan antaranya dari Pahang dan Melaka,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 9:39pm
d