rap

Nak jadi hero

Oleh Syanty Octavia Amry

MEMILIKI paras rupa kacak adalah rezeki buat pelakon Ikmal Amry apabila dia dengan mudah mendapat tawaran berlakon.

Walaupun masih baharu, Ikmal, 24, mengakui ia peluang yang perlu digunakan dengan baik.

Namun, dia tidak pernah mendabik dada sebaliknya sentiasa berlatih dan terus memperbaiki mutu lakonan dari semasa ke semasa.

“Memang banyak tawaran berlakon saya terima. Ada yang kata kerana saya ada rupa yang memudahkan tawaran diterima. Bagi saya, ada rupa tetapi berlakon tidak seberapa dan tidak bersungguh-sungguh tidak guna juga. Sebagai pelakon tidak kiralah ada rupa atau tidak yang penting usaha dan sentiasa mencuba memperbaiki lakonan kita,” katanya.

Ikmal berkata, dia sendiri pada awalnya tidak meminati lakonan tetapi dikelilingi teman yang terbabit dalam bidang seni membuatkan jiwa melonjak ingin mencuba.

“Saya sendiri tidak menyangka akan terbabit dalam bidang ini. Saya belajar dalam bidang pengurusan perniagaan yang memang tidak ada kena-mengena dengan lakonan.

“Selepas sering bersama kawan yang terbabit dengan bidang seni saya sekadar mencuba nasib dan tidak sangka rezeki memihak kepada saya.

“Apa yang penting, kunci saya adalah sentiasa belajar dan terus belajar, ini kerana saya akui sebenarnya tidak pandai berlakon tetapi kerana minat yang sudah berputik saya banyakkan belajar,” katanya.

Mengimpikan memegang watak hero satu hari nanti, Ikmal berkata, kesabaran itu penting dan yakin rezekinya akan tiba juga.

“Semua yang berlakon pasti mahu memegang watak hero tetapi saya yakin mungkin belum rezeki. Insya-Allah masa itu akan tiba nanti apa yang penting sekarang ini saya akan terus memperbaiki lakonan kerana itulah juga tidak menolak sebarang watak yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, Ikmal juga kurang selesa diberikan watak yang dibenci penonton. Namun dia yakin, kadang-kadang watak seperti itulah yang membuatkan namanya dikenali.

“Saya sentiasa positif kerana bagi saya apa juga watak diberikan, sebagai pelakon kita perlu melaksanakannya sebaik mungkin. Walaupun kurang selesa dengan watak jahat, itulah yang menaikkan nama saya,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 4:30am
d