rap

Kelly sudah tiada

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

PEMAIN gitar basis terkenal, Wan Kelly Abdul Rahman atau Kelly, meninggal dunia kerana serangan jantung ketika sesi latihan sebuah majlis amal di Perak, semalam.

Kelly dilaporkan tiba-tiba rebah di pentas ketika membuat latihan sempena Malam Kasih Amal yang sepatutnya berlangsung di Maps, Ipoh, malam semalam.

Penyanyi Dayang Nurfaizah akui terkesan dengan kematian Allahyarham yang sepatutnya mengiringi persembahannya dalam majlis sama.

"Malam ini (semalam) amat sukar untuk saya menyanyikan lagu Di Pintu Syurga kerana kehilangan seorang pemuzik yang saya kagumi.

"Baru saja kita bergurau ketika sesi 'sound check' tetapi Allah lebih menyayanginya. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Abang Kelly," luah Dayang.

Adibah Noor yang turut terbabit sebagai pengacara bersama Datuk Afdlin Shauki dalam majlis sama turut meluahkan perasaan hiba di laman sosialnya.

"Dalam hati, Allah sahaja yang tahu kehibaan kami. Semasa mengacara acara malam tadi, beberapa kali kami sebak dek perginya rakan patriot seni muzik tanah air yang sepatutnya 'perform' dalam majlis sama," kata Adibah.

Katanya lagi, biar pun kejadian petang semalam itu mengejutkan ramai, persembahan perlu diteruskan kerana itulah tuntutan profesyen mereka.

Ramai artis popular lain yang mengenali dan pernah bekerjasama dengan arwah dalam beberapa projek single, album dan konsert turut meluahkan rasa sedih dan takziah di laman sosial masing-masing selain mengajak peminat masing-masing sedekahkan surah Al-Fatihah kepada arwah.

Antaranya Datuk Sheila Majid, Hafiz Hamidun, Anuar Zain, Noh Hujan dan kumpulan Ruffedge.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Sri Damansara dan selamat dikebumikan pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara di sini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Zeti Nezlin Zulkifli dan tiga anak iaitu Wan Adam Nuqman, 20, dan kembar, Wan Afri Zareeth, serta Wan Efra Armand, 15.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 1:51pm
d