rap

Aiman hiburkan peminat cilik [METROTV]

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI Aiman Tino, 21, Jumaat lalu meluangkan masa melawat peminat ciliknya, Muhamad Ikhwan Md Razali yang menghidap penyakit Juvenile Idiopathic Arthritis atau radang sendi di Hospital Selayang.

Aiman mengajak peminatnya mendoakan kesejahteraan untuk kanak-kanak berusia sembilan tahun itu.

"Kepada semua peminat, saya mohon untuk sama-sama kita doakan kesejahteraan adik Ikhwan dan semoga dia diberikan kesembuhan daripada penyakitnya," katanya kepada Harian Metro.

Aiman turut meluahkan rasa simpatinya kepada Ikhwan yang masih terlalu muda untuk berdepan dugaan besar itu.

"Dia baru sahaja berusia sembilan tahun tetapi sudah diberikan ujian sebesar ini. Saya doakan agar dia dapat kembali sihat seperti kanak-kanak lain, sihat seperti adik-adik saya di rumah," katanya.

Aiman hadir ke hospital itu untuk memberikan semangat buat Ikhwan memandangkan kanak-kanak itu terlalu meminatinya.

"Dia minat saya sehingga meminta orang sekelilingnya memanggilnya Aiman Tino dan bukan Ikhwan. Di sana, saya sempat menyanyikan lagu untuknya dan pujuk dia untuk makan ubat.

"Waktu saya nak balik, dia kata jangan dan merajuk sebab akan rasa bosan,” katanya.

Muhamad Ikhwan menghidap penyakit itu sejak 2014 namun mula kritikal pada 2016 dan menerima rawatan sehingga ke hari ini.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 12:48pm
d