rap

Isteri tiada 'senarai hitam' artis wanita - Hisyam Hamid

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Hisyam Hamid mengakui tidak mendapat halangan daripada isteri, Rosmawati Hanafi untuk berlakon dengan mana-mana artis wanita.

Hisyam, 34, yang berasal dari Singapura berkata, isterinya sentiasa bersikap profesional sejak awal pembabitannya dalam bidang seni lagi.

“Isteri tidak ada ‘senarai hitam’ mana-mana artis wanita. Begitu juga dalam lakonan, dia okey saja jika membabitkan babak atau dialog romantis. Itu adalah biasa.

“Setakat ini, dia tidak pernah cemburu. Tapi, saya berasakan tipulah kalau dia tak cemburu. Kalau tak cemburu tu masalah juga. Maksudnya dia tak ada perasaan pada kita.

“Jadi, sebagai suami kena mainkan peranan untuk memenangkan hatinya semula,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sejauh mana penerimaan sekiranya isterinya pula yang berlakon, Hisyam mengakui dia jenis cemburu.

“Macam isteri, kalau dia nak jadi pelakon mungkin banyak syarat yang saya akan letakkan.

“Saya jenis cepat cemburu. Apatah lagi jika membabitkan babak romantis dengan lelaki lain memang tak boleh terima,” katanya.

Mengenai kerjaya lakonannya, Hisyam berkata, dia tidak terkesan dengan kehadiran pelakon baru dan muda yang diangkat menjadi hero.

“Ada bagusnya kalau selalu ada orang baru. Ia buat kita supaya tidak terlalu selesa dengan keadaan.

“Jadi, kita kena bekerja lebih kuat dan memberikan hasil yang bagus supaya kekal relevan. Dalam masa sama, produksi pun tak ada masalah nak ambil kita.

“Secara peribadi, saya tidak ada masalah nak bersaing dengan pelakon baru. Saya okey saja. Saya sentiasa percaya pada rezeki,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 5:31pm
d