rap

Gah melangkah - The Times

Oleh Syafil Syazwan Jefri

TEMPOH 11 tahun tanpa album adalah satu tempoh yang panjang. Namun tanpa album bukanlah bererti nama band indie, The Times berkubur begitu saja.

Mereka masih lagi bergerak aktif dan kini, The Times masih lagi diterajui vokalis yang juga gitaris, Naza, diikuti Bakri (pemain dram) di samping dua anggota baru iaitu Khabin (gitaris) dan Jibeng (bassis).

Terbaru, The Times hadir dengan dua single baru berjudul Separa Sedar dan Aries, kedua-duanya dilancarkan pada April lalu.

“Separa Sedar dan Aries adalah dua buah tangan terbaru kami untuk peminat. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan dan ramai yang bertanya mengenai video muzik memandangkan kami hanya kongsikan video sesi jamming saja di YouTube,” kata Naza atau nama sebenarnya Natazar Mohd mewakili kumpulannya.

Kedua-dua single baru itu juga khabarnya akan dimuatkan ke dalam album terbaru mereka akan datang.

“Insya-Allah, kami akan keluarkan album penuh yang memuatkan 10 lagu termasuklah Separa Sedar dan Aries,” katanya.

Lebih menarik lagi, The Times juga masih lagi mengekalkan strategi pemasaran menerusi penerbitan kaset dan cakera padat (CD).

“Walaupun zaman dah moden dan ramai pengkarya yang memilih untuk menerbitkan album berbentuk digital, kami masih kekal dengan album fizikal berbentuk kaset dan CD.

“Sejak dilancarkan pada 14 April lalu, kami keluarkan 500 unit album untuk single baru ini dan semuanya habis terjual.

“Sekarang, kami dalam proses untuk terbit­kan lagi 500 unit album kerana ramai yang minta dan membuat tempahan,” katanya.

Permintaan peminat itu jugalah sebenarnya yang menjadi pembakar semangat buat The Times untuk kembali beraksi.

“Kami muncul semula pun atas desakan dan permintaan peminat. Kerana merekalah kami jadi bertambah bersemangat untuk beraksi di pentas dan berkarya.

“Dulu, peminat kami kebanyakannya masih muda dan tak mampu nak beli album. Ada antara mereka yang masih bersekolah pada ketika itu.

“Kini, kebanyakan mereka sudah menginjak dewasa dan berkerjaya. Jadi, mereka dah boleh keluarkan wang untuk beli album kami,” katanya.

Tidak hanya memfokuskan kepada generasi peminat sedia ada, The Times juga berjaya mencuri tumpuan peminat generasi baru.

“Di media sosial, ramai juga peminat generasi baru memberikan respons kepada karya yang kami kongsikan.

“Apa yang boleh saya katakan, ini membuatkan saya bertambah yakin bahawa karya yang dikeluarkan oleh The Times masih relevan sehingga ke hari ini,” katanya.

Apa yang pasti, The Times dulunya ‘bersembu­nyi’, kini ingin melangkah keluar dan berdiri sebaris dengan pemuzik arus perdana.

Selepas Aidilfitri, The Times khabarnya akan mengadakan siri jelajah untuk memperkenalkan kembali nama dan karya mereka.

“Harapnya, kemunculan kami akan terus diterima dengan baik oleh penggemar muzik tanah air dan kami pun akan lebih bersemangat untuk berkarya,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 4:30am
d