rap

Ika Nabella tak mahu keguguran lagi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Ika Nabella yang kini hamil anak sulung menolak dan batalkan semua tawaran berlakon selepas pernah keguguran ketika menjalani penggambaran drama dua tahun lalu.

Ika, 30, atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim berkata, dia mahu lebih berhati-hati dalam kehamilan kali ini supaya insiden sama tidak berulang.

“Selepas mengalami keguguran dua tahun lalu dan hampir tiga tahun berkahwin, saya disahkan hamil lagi. Usia kandungan masih awal sebab baru melepasi peringkat pertama kehamilan.

“Walaupun segelintir orang kata tiga tahun berkahwin itu masih awal, tapi agak lama untuk saya menantikan cahaya mata. Selepas doktor mengesahkan hamil, saya terus batalkan semua tawaran berlakon dan komitmen kerja lain. Sebenarnya kalau ikutkan saya ada beberapa lagi projek sepanjang bulan ini.

“Doktor nasihatkan saya supaya berehat kerana pernah ada pengalaman keguguran. Takut apa-apa terjadi nanti. Disebabkan itu saya ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Ika mengakui selepas keguguran, dia sentiasa berharap dapat hamil sekali lagi.

“Sewaktu buat pemeriksaan menggunakan alat ujian kehamilan, saya tak berharap sangat sebab sudah banyak kali negatif. Memang kecewa apatah lagi saya dan suami terlalu inginkan cahaya mata.

“Kali ini saya tergerak untuk buat pemeriksaan sebagai langkah berjaga-jaga kerana terbabit dengan penggambaran. Kalau betul hamil, saya nak elakkan adegan berat dan berlari. Dalam masa sama, saya berasa tidak sedap badan dan datang haid lambat. Alhamdulillah, saya berjaya hamil secara semula jadi tanpa menjalani sebarang rawatan kesuburan. Saya memang sentiasa ikhtiar untuk hamil,” katanya.

Ditanya mengenai keadaannya sekarang, Ika yang juga pelakon drama Seharum Mawar masih berpuasa.

“Saya masih mampu berpuasa. Keadaan pun okey, tapi doktor nasihat jika keadaan tak mengizinkan tak perlu puasa,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 12:16pm
d