rap

Elfira sukar berpuasa ketika hamil

Oleh Syanty Octavia Amry

SEDANG hamil anak sulung, pelakon Elfira Loy melalui pengalaman sukar pada hari pertama menyambut Ramadan.

Berkongsi perkara itu di Insta Story, Instagram miliknya, Elfira berkata, badannya berasa kurang selesa, loya dan kembung perut.

“Hari ini (semalam) hari pertama saya cuba berpuasa. Memang agak sukar kerana rasa loya, muntah angin dan tidak selesa sangat.

“Tidak tahu hendak gambarkan perasaan sakit itu macam mana tapi saya cuba. Saya tidur sebentar, bangun masak dah berbuka,” tulisnya.

Tulisnya lagi, ketika berbuka dia terasa hendak pengsan berikutan langsung tidak boleh menelan makanan.

“Alhamdulillah mula-mula rasa susah hendak masuk makanan, sekarang sudah rasa hendak makan lagi,” tulisnya.

Elfira turut berkongsi, doktor ada memaklumkan kepadanya bahawa tidak ada masalah untuk ibu mengandung berpuasa Ramadan.

“Doktor beritahu tidak ada masalah untuk wanita mengandung berpuasa. Alahan ini ikut nasib barangkali, tapi saya selalu tahan saja,” tulisnya.

Dalam pada itu, Elfira juga berkongsi cabaran dia hendak menunaikan solat Tarawih.

“Puasa setahun sekali saja. Apabila suami ajak solat bersama dan saya cakap penat tetapi dia ajak juga, ia menjadi motivasi untuk saya kuat dan pergi solat.

“Cabaran saya ketika solat Tarawih semalam, apabila rasa sakit sangat belakang dan tidak selesa serta mengah,” tulisnya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 5:48pm
d